PUTERI KECIL KEKUATAN BARU HAFIZA

Pelumba Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix dari pasukan TKKR RACING TEAM, Md Hafiza Rofa, kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupannya, bukan di litar perlumbaan, tetapi dalam kehidupan sebenar apabila beliau baru sahaja menyambut kelahiran cahaya mata pertamanya.

Berita gembira ini membuka lembaran baru buat Hafiza, yang kini bukan sahaja berlumba demi kejayaan peribadi dan pasukannya, tetapi juga demi keluarga kecil yang sedang dibinanya.

“Perasaan saya amat-amat gembira. Sukar nak gambarkan dengan kata-kata. Ini satu pengalaman yang sangat baru, sangat bermakna dalam hidup saya. Saya bersyukur kepada Allah kerana mengkurniakan rezeki yang tidak ternilai ini,” ujar Hafiza dengan penuh emosi ketika ditanya tentang pengalaman bergelar ayah buat kali pertama.

Walaupun rutin seorang pelumba profesional cukup padat dan memerlukan komitmen tinggi, Hafiza menegaskan bahawa kehadiran anak bukanlah satu halangan, malah menjadi sumber kekuatan dan kegembiraan yang baharu buat dirinya.

“Tak dinafikan, bila berjauhan, saya memang selalu teringat dan senyum sendiri bila terbayang wajah anak saya. Tapi semua tu jadi semangat. Setiap kali saya berlumba, saya rasa macam saya ada sebab yang lebih besar untuk menang untuk anak, untuk keluarga,” jelasnya.

Mengimbangi antara latihan, perlumbaan, dan tanggungjawab sebagai seorang bapa bukan sesuatu yang mudah, namun Hafiza amat bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang kuat.

“Saya sangat bersyukur kerana isteri dan keluarga sangat memahami. Mereka beri saya ruang untuk berlatih dan fokus bila perlu. Saya uruskan masa dengan baik supaya tetap ada masa untuk anak dan keluarga. Dengan sokongan mereka, segalanya menjadi lebih mudah,” katanya lagi.

Bila ditanya tentang harapan buat anaknya suatu hari nanti, Hafiza menjawab dengan nada penuh kasih sayang, “Anak saya perempuan. Mungkin suatu hari nanti dia akan tengok video saya berlumba atau ikut saya ke litar. Tapi apa pun minat dia nanti, saya akan sokong sepenuhnya. Yang penting dia bahagia dan berani kejar apa yang dia suka. Saya akan sentiasa ada untuk memberi semangat.”

Meskipun statusnya kini berubah, Hafiza tetap mengekalkan persiapan fizikal dan mental yang rapi menjelang setiap perlumbaan. Bagi beliau, gelaran sebagai ayah bukanlah beban, tetapi motivasi tambahan.

“Jujurnya, tiada sebarang masalah untuk kekal fokus. Isteri saya sangat membantu, dia uruskan anak waktu saya buat latihan kecergasan dan sesi latihan di litar. Jadi, persiapan saya tetap berjalan seperti biasa. Cuma kali ini, ada ‘bahan bakar’ baru dalam hati saya!”