RAIYAN BERAZAM TINGKATKAN PRESTASI

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Raiyan Khardanee dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing berazam untuk mengekalkan kedudukan di kategori Wira KBS.

Musim lepas, Raiyan hanya berjaya di tangga kelima secara keseluruhan tetapi pada musim ini, beliau telah memulakan bab baharu di acara pembuka tirai dengan pencapaian hebat di tangga teratas. Bolehkan Raiyan meneruskan kecemerlangan ini di samping pelumba-pelumba lain termasuk juara bertahan dan pelumba sepasukan, Farres Putra dan pelumba jentera jenis Honda, Akif Abdullah yang masing-masing telah tampil dengan persaingan yang mantap pada musim lepas?

Berdasarkan keputusan musim lepas, jelas ternyata prestasi Raiyan kurang memuaskan di litar Tangkak berbanding dengan pelumba-pelumba lain. Di kedua-dua pusingan yang telah berlangsung di litar tersebut, beliau hanya mampu memungut enam dan lapan mata masing-masing. Mungkinkah tahun ini berbeza? Dengan peningkatan prestasi yang ketara di pusingan pertama, jelas ternyata Raiyan memiliki kaliber dan kemahiran untuk menyahut cabaran dan mengatasi saingan pelumba-pelumba terdekat.

Menurut Raiyan, “Bagi saya, setiap musim menyaksikan peningkatan dalam daya saingan terutamanya dengan kehadiran pelumba dengan semangat baharu, lebih-lebih yang berpengalaman. Pada pendapat saya, pasukan perlu menyesuaikan strategi mereka berdasarkan pesaing-pesaing yang ada pada musim ini dan saya amat yakin dengan pasukan saya dalam penyediaan jentera yang berada dalam keadaan yang baik. Persiapaan saya kebanyakkannya tertumpu kepada ujian ketahanan dan kelajuan yang memberikan keputusan yang lebih konsisten. Tidak lupa juga pasukan saya yang sentiasa mengekalkan keadaan jentera yang baik untuk memastikan prestasi optimum dari segi teknikal.”

“Cabaran utama dalam perlumbaan sudah semestinya faktor cuaca dan keadaan litar yang tidak dapat dijangka. Lebih-lebih lagi ketika hujan kerana litar menjadi sangat licin. Ia tidak dapat dielakkan kecuali harus lebih berhati-hati. Matlamat saya untuk musim ini adalah untuk meningkatkan prestasi berbanding musim sebelumnya dan memastikan lap masa yang lebih konsisten dalam perlumbaan. Saya akan cuba untuk memungut sebanyak mata yang boleh dan sempurnakan strategi perlumbaan bersama rakan sepasukan untuk mendapatkan podium.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *