CP150 DI MUSIM BAHARU

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali dengan aksi musim baharu pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara). Di antara pelumba-pelumba kategori CP150 yang akan kembali beraksi adalah Akid Aziz, juara bertahan musim 2024 dan rakan sepasukan Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing dan ramai lagi dengan matlamat untuk bergelar juara.

Musim lepas merupakan musim yang cemerlang bagi Akid apabila beliau meraih gelaran juara buat kali kedua dengan tujuh kemenangan dan satu podium. Dengan jumlah sebanyak 200 mata, pelumba yang berasal dari Kuala Lumpur mendahului pesaing utama dan rakan sepasukan, Afif yang akur di tangga kedua sebanyak 37 mata. Seorang pelumba yang bukan setakat berpengalaman malah berkaliber, Akid telah memaparkan kemampuannya untuk mengatasi cabaran di litar teknikal mahupun litar kelajuan tinggi. Mampukah Akid mengulangi pencapaian tersebut dan mempertahankan gelaran kejuaraan pada musim ini?

Menurut Akid, “Kekurangan saya pada musim lepas adalah fokus terutamanya ketika berlumba. Selain itu, pengurusan stamina saya juga perlu diperbaiki terutamanya pada penghujung perlumbaan yang lebih panjang. Untuk musim ini, saya akan meningkatkan lagi latihan ketahanan fizikal dan mental untuk membuat keputusan yang lebih tepat di saat-saat kritikal. Selain itu, saya juga akan bekerja rapat dengan rakan sepasukan untuk membangunkan strategi yang lebih baik untuk perlumbaan. Pengalaman musim lepas yang paling berharga yang akan saya bawa ke musim ini adalah pencapaian yang konsisten dan pengurusan masa yang bagus.”

“Pada musim lepas, terdapat beberapa waktu di mana saya terlalu fokus pada satu aspek dan mengabaikan yang lain. Ini telah menyebabkan saya kurang efisien. Oleh itu, keseimbangan amatlah penting di antara fizikal, mental dan persediaan strategi. Saya juga perlu belajar untuk mengawal emosi dan membuat keputusan yang lebih bijak di situasi yang tertekan. Matlamat utama saya untuk musim ini adalah untuk mencapai prestasi yang lebih konsisten dan meningkatkan tahap permainan saya secara keseluruhan. Secara spesifik, saya ingin memperbaiki aspek teknik, taktikal, dan mental dalam permainan saya, supaya saya lebih konsisten.”


Tidak kurang hebat adalah Afif yang telah memberikan saingan yang mantap di samping mempertahankan kedudukannya di tangga ketiga teratas sepanjang musim tersebut. Walaupun cabaran pesaing-pesaing terdekat, Kasma dan Azroy ketara di setiap pusingan, Afif berjaya mengatasi tekanan tersebut dengan pencapaian yang memuaskan. Mampukah Afif meneruskan perjuangannya terhadap Kasma dan Azroy, dua pesaing utama dan pelumba yang masing-masing mempunyai kelebihan mereka tersendiri?


Menurut Afif, “Saya dapat rasa, pesaing terdekat saya selain rakan sepasukan saya, Akid, Azroy dan Kasma akan memberikan saingan yang hebat pada musim ini. Selain itu, pelumba-pelumba lain juga agak hebat kerana kebanyakkan mereka adalah pelumba yang berpengalaman. Kekurangan saya mungkin dari segi berat badan saya berbanding dengan pelumba-pelumba lain. Namun begitu, saya buat kelainan sedikit di mana saya berusaha untuk menurukan berat badan saya dengan latihan fizikal. Selain itu, saya juga banyakkan latihan mental supaya lebih fokus semasa berlumba. Tahun ini, pasukan saya lebihkan latihan untuk menguji komponen-komponen jentera yang baharu. Matlamat saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Saya akan membawa pengalaman daripada tahun-tahun sebelum ini dan akan cuba memperbaiki kekurangan saya di mana boleh.”

Pelumba-pelumba yang akan mara ke kategori CP150 daripada kategori CP125 adalah Irfan Haykal dari pasukan Honda KC Racing ke Maeztro SCK Honda Racing Team dan Shahrul Ezwan dari pasukan Honda AFB Tech Racing ke TKKR Racing Team. Syafiq Rosli pula akan bertukar pasukan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor ke Jetron YY Pang Racing Team manakala Danish Aiman akan menyertai kategori CP150 daripada kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup bersama pasukan ATAS AHM Motor Sports.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *