HAMPIR TAMAT, MUZAKKIR BANGKIT BERSAMA VOGE

Selepas mengumumkan persaraan pada Pusingan 5 musim lalu akibat kecederaan serius, pelumba berpengalaman Md Muzakkir Mohamed kembali mengejutkan peminat apabila menyertai semula Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix bagi musim 2025. Muzakkir kini kembali ke litar dalam kategori utama CP150, namun dengan wajah baharu – menyarung jersi Voge Racing Team, sebuah pasukan yang turut tampil kali pertama di pentas Cub Prix. Kepulangan ini bukan sekadar simbol kebangkitan peribadi, tetapi satu bukti bahawa semangat dan cintanya terhadap perlumbaan masih belum pudar.

Menjelang pusingan pembukaan musim ini, Muzakkir menyifatkan tahap persiapannya sebagai antara yang paling baik dalam seluruh kerjayanya sebagai pelumba profesional. “Berani saya katakan, inilah persediaan paling rapi dan berdisiplin sepanjang saya bergelar pelumba. Saya kini lebih matang dan lebih memahami apa aspek yang perlu diberi perhatian. Kecederaan musim lalu turut memberi saya satu motivasi baharu, kini saya jadi lebih sabar dan fokus dalam memperbaiki prestasi diri.”

Namun, Muzakkir mengakui latihan atas motosikal masih agak terhad kerana beliau masih berhati-hati terhadap kecederaan bahunya yang belum pulih sepenuhnya. “Saya tahu keadaan saya belum 100% pulih, tetapi saya berada di landasan yang betul dan segalanya nampak ke arah positif,” ujarnya lagi.

Keputusan untuk kembali ke litar bukan dibuat dengan mudah. Muzakkir membuka cerita tentang fasa sukar yang dilalui ketika mengambil keputusan untuk bersara musim lalu. “Musim lepas adalah musim paling teruk dalam hidup saya. Kecederaan bahu kanan hampir membuatkan saya gantung suit perlumbaan buat selamanya. Menonton Cub Prix dari rumah merupakan satu pengalaman yang sangat asing bagi saya. Tapi sepanjang tempoh itu, Azlan Shah Kamaruzaman, bekas rakan sepasukan saya, banyak memberi dorongan dan kekuatan. Beliau percaya perjuangan saya belum tamat, dan akhirnya tawarkan saya tempat dalam pasukan barunya.”

Tawaran itu membuka lembaran baharu dalam karier Muzakkir. Dengan semangat dan fokus yang diperbaharui, beliau melihat peluang ini sebagai satu langkah penting untuk kembali ke tahap terbaik. “Saya tidak pandang ke belakang lagi. Minat dan cinta saya terhadap sukan ini terlalu dalam. Saya rasa inilah masa terbaik untuk saya bangkit dan membantu pasukan ini berkembang.”

Bersama Voge Racing Team, Muzakkir tidak menafikan ada cabaran besar menanti, terutama dari segi jentera. “Cabaran utama bukan sebab pasukan baru, tapi kerana kami gunakan jentera dari Voge, satu jenama dari China yang masih baru dalam Cub Prix,” jelasnya. “Kami kekurangan data perlumbaan, tiada pengalaman terdahulu dan agak terhad dari segi alat ganti. Tapi yang membuatkan saya kagum, Voge sangat komited. Mereka betul-betul beri sokongan dan bersama-sama turun padang dalam usaha membangunkan jentera ini.”

Walaupun mereka masih jauh berbanding jenama lain yang sudah bertapak lebih lama dalam Cub Prix, Muzakkir percaya segala usaha dan kerjasama erat dalam pasukan bakal membuahkan hasil. “Kalau kami terus bekerja sekeras ini, saya yakin kami akan jadi lebih kompetitif dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Dalam kelas CP150 yang kini dipenuhi pelumba muda berbakat dan agresif, Muzakkir masih percaya dirinya mampu memberi saingan. “Sudah 15 tahun saya menyertai dalam Cub Prix. Saya telah melihat ramai pelumba yang datang dan pergi. Saya akui pelumba-pelumba muda lebih agresif dan bertenaga, dan saya pun pernah berada di tempat mereka suatu ketika dulu. Tetapi saya ada satu kelebihan yang mereka belum ada iaitu pengalaman. Saya tidak akan memberi laluan mudah dan saya juga tahu macam mana nak memberi saingan.”

Menyentuh tentang sisi kehidupan seorang atlet, Muzakkir turut meluahkan rasa yang jarang disuarakan secara terbuka. “Ramai melihat menjadi atlet ini seronok dan terkenal. Tapi mereka tidak nampak pengorbanan di sebalik semua itu. Tekanan, masa terhad bersama keluarga, risiko kecederaan, isu kewangan… Semua itu realiti yang kami hadapi. Ramai yang tinggalkan pelajaran seawal belasan tahun untuk mengejar cita-cita, tetapi tidak semua berjaya mencapai puncak. Apabila gagal, tidak ramai yang tahu apa akan jadi selepas itu.”

Beliau menyeru agar masyarakat lebih menghargai dan menyokong atlet tempatan tanpa syarat. “Kita tak boleh harap bantuan semata-mata. Kita kena usaha sehabis baik dalam apa jua bidang. Dalam masa sama, masyarakat perlu memberi sokongan. Jangan hanya memuji ketika ada kemenangan. Hargailah pengorbanan atlet kita dari awal lagi.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *