Pusingan Keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan memeriahkan lagi suasana di Litar Teluk Intan pada hujung minggu ini. Amirun Haziq Johan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing lebih bermotivasi untuk mengumpul mata keseluruhan bagi kategori Wira KBS.
Sepanjang musim ini, Amirun telah menunjukkan kemahirannya dalam menguasai kategori perlumbaan ini. Dengan dua kemenangan dan satu podium, beliau kini menduduki tangga teratas secara keseluruhan dengan jumlah 94 mata. Walaupun persaingan di kategori perlumbaan ini bertambah sengit di setiap pusingan, Amirun masih mampu mempertahankan kedudukannya selama lima pusingan. Dengan kemenangan yang diraih pada pusingan kelima, kedudukan beliau bertambah kukuh dengan perbezaan mata sebanyak 21 mata.
Pelumba yang berasal dari Kuala Lumpur mula beraksi di kategori perlumbaan ini pada tahun 2022. Pada ketika itu, Amirun baru dan masih mempelajari selok-belok berlumba di kategori tersebut. Namun begitu, beliau masih mampu menamatkan musim tersebut di tempat kelima secara keseluruhan. Sebelum itu, beliau beraksi di kategori Yamaha PETRONAS Super Series. Musim ini agak berlainan kerana Amirun telah meningkatkan lagi prestasinya dan telah tampil dengan persembahan yang hebat secara keseluruhan.
Menurut Amirun, “Pada pusingan kelima, saya sebenarnya tidak sangka yang saya boleh memang tetapi saya hanya cuba kuatkan semangat pada ketika itu dan buat sebaik mungkin untuk menang. Memang suatu perlumbaan yang agak mencabar tetapi rezeki menyebelahi saya. Untuk race di Teluk Intan nanti, ia adalah perlumbaan kali pertama bagi saya maka saya tidak dapat jangkakan apa-apa buat masa kini. Tapi saya cuba memahami susun atur trek dan berharap untuk dapatkan “setup” yang paling sesuai untuk keadaan litar di situ.”
“Buat masa kini, matlamat saya adalah untuk mengutip sebanyak mata yang boleh. Oleh itu, saya akan membuat persiapan yang sewajarnya dari segi pembinaan stamina serta kecergasan fizikal dan mental. Saya kena lebihkan fokus dan harap dapat mempelajari trek tersebut secepat mungkin. Sudah tentu saya mengharapkan kemenangan namun begitu, kita akan lihat nanti pada hujung minggu ini.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

