Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
Begitulah juga, keluarga kepada anak muda berusia 26 tahun, Muhammad Haikal Asyraf Hamdan apabila kesemua adik-beradiknya mengikut jejak langkah menapak di litar cuma berlainan bidang.
Anak sulung daripada empat adik-beradik, yang lebih mesra disapa ‘Karl’ memulakan kareer dalam dunia sukan permotoran sebagai seorang ‘Marshall’ dan tugas pertamanya sukan berprestij dunia iaitu Kejuaraan Formula 1 Malaysia pada tahun 2013 iaitu kali terakhir dianjurkan di Malaysia. Siapa sangka tiga orang adiknya pula berkecimpung dalam perlumbaan jentera dua roda.
“Ketika itu saya berusia 17 tahun membuat debut kali pertama sebagai ‘marshall’ untuk satu sukan yang cukup besar dan terkenal dunia atas ajak pakcik saya yang juga seorang Marshall. Nama dia Ishak dan semua kenal dia ‘Sahak’. Pada masa itu saya buat hanya sebagai kerja sambilan dan saya teruja menyaksikan perlumbaan F1.”
“Sedikit pun saya tak jangka satu hari nanti saya akan dapat melihat adik-adik saya berlumba dan dapat bersorak dari belakang. Alhamdulilah atas rezeki yang dikurniakan saya dapat melihat mereka beraksi, walaupun saya tidak dapat menghurai kegembiraan saya dalam perkataan tetapi saya cukup bangga dengan mereka,” katanya seorang abang yang berkongsi kegembiraan.
Jika abangnya di belakang tabir, tiga orang adik Muhammad Firdaus Hamdan, Muhammad Haziq Hamdan dan Muhammad Afiq Hamdan sedang bertarung di atas litar bagi merealisasikan impiannya untuk beraksi di persada dunia suatu hari nanti. Firdaus yang membuka langkah sebagai pelumba pada tahun 2014 di kelas WIRA, kini beraksi dalam kelas CP125 mewakili pasukan HONDA KC Racing.
“Sememangnya saya menanam cita-cita untuk menjadi seorang pelumba profesional sejak di bangku sekolah walaupun saya mengenali tahap risiko sukan jentera dua roda ini. Jika seseorang itu tiada jiwa keberanian atau jiwa kelajuan memang tidak boleh bertahan lama. Perlumbaan ini bukan sahaja minat tetapi ia juga salah satu sumber pendapatan bagi saya.
“Pada awalnya impian saya hanya untuk membanggakan keluarga saya. Tetapi lebih manis, apabila dua adik di bawah saya turut mengikuti jejak saya untuk menceburi sukan permotoran. Saya dan Haziq ada dalam satu pasukan sementara adik bongsu saya beraksi dalam kelas WIRA KBS. Saya rasa gembira sebab kami satu keluarga berada dalam dunia sukan permotoran. Kini saudara mara kami pun giat berlatih ‘Pocketbike’. Penyertaan kami sekeluarga dalam sukan jentera dua roda ini sudah pastinya mempengaruhi anak-anak muda dalam keluarga kami.” jelas Firdaus
Sementara, Haziq Hamdan yang juga beraksi dalam kelas yang sama dengan abangnya, menyifatkan Malaysian Cub Prix sebagai medan mendekati minat dengan cara yang betul sekaligus mencungkil bakat-bakat baru.
“Setelah abang saya (Firdaus) mula beraksi, saya mula ada rasa konfiden untuk turut mengikut jejak langkah untuk mengembangkan minat saya. Sebelum menyaksikan abang saya berlumba, saya selalu ikut ayah saya ke trek Sepang. Ayah saya pemandu ‘towing’. Dia selalu dapat tugasan di trek. Minat saya timbul bermula di sana apabila melihat kecekapan pelumba di atas litar, penonton bersorak, pemenang meraih kemenangan dan saya seronok melihat di depan mata.
“Tak sangka impian saya akan jadi kenyataan. Pada awalnya saya hanya main e-game dalam telefon bimbit tetapi selepas abang saya dah menyertai MCP, saya pun dapat peluang tahun berikutnya. Saya harap penyertaan kami anak-anak Hamdan boleh membuktikan sukan ini mempunyai hala tuju dan masa depan yang cerah kepada keluarga besar saya sekaligus mendorong mereka yang berminat untuk mencuba” kata Haziq dengan penuh harapan.
Kini Haziq yang beraksi bersama pasukan Honda KC Racing menduduki tangga ke-10 dengan 47 mata selepas 8 pusingan. Berbaki lagi dua pusingan Haziq tekad mengutip mata semaksimum untuk mengukuhkan lagi kedudukan.
Katanya “Nak kejar kejuaraan ialah mustahil tetapi dalam baki dua pusingan ini saya nak kutip mata berharga sebanyak mungkin untuk pasukan. Saya mahu menaiki podium dalam pusingan terakhir ini sebelum MCP menutup tirai.”
Anak bongsu daripada empat adik beradik, Afiq Hamdan pula baru sahaja menimba pengalaman dalam kelas WIRA dan kini menghuni tangga ke-24 carta dengan 7 mata. Sudah tentunya “The Hamdan’s” mengorak legasi tersendiri dalam arena Malaysian Cub Prix.

