Cub Prix – Bukan Sekadar Perlumbaan
Siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS cukup dikenali sebagai siri perlumbaan motosikal yang telah melahirkan ramai pelumba-pelumba handalan negara.
Namun siri perlumbaan ini sebenarnya bukan hanya tertumpu kepada melahirkan bakat, tetapi turut menjadi platform penting kepada pelbagai pihak terutama barisan penaja-penaja.
Kedatangan Kejuaraan Cub Prix merupakan antara acara yang sering dinantikan oleh peminat-peminat, dan sebenarnya bukan hanya untuk peminat motosikal sebaliknya sebagai acara yang sesuai untuk seisi keluarga.
Kami berikan 10 sebab kenapa anda perlu berkunjung menyaksikan perlumbaan Cub Prix pada tahun ini.
1. Honda RS150R vs Yamaha Y15ZR
Pengenalan kategori baharu CP150 menggantikaan CP130 pada tahun ini merupakan perkara yang paling dinantikan oleh peminat-peminat sukan permotoran.
Sejak diumumkan pada tahun 2016, kategori ini mendapat sambutan positif. Memandangkan kategori ini baharu diperkenalkan, pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba pasti memerlukan masa untuk mendapatkan kuasa jentera ke tahap optimum.
Sesi ujian pra-musim yang berlangsung di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) 21 dan 22 Februari lepas menyaksikan perlumbaan diantara kedua-dua jentera ini pasti akan berlangsung sengit. Mungkin juga pada masa akan datang lebih banyak pengeluar motosikal akan sama-sama beraksi!
2. Kawasan Promosi
Aktiviti di kawasan promosi merupakan perkara penting untuk menarik kehadiran penonton. Menyedari keperluan semua pengunjung, pihak Cub Prix bukan hanya menarik minat pengeluar motosikal untuk berada di kawasan promosi, sebaliknya pelbagai barangan dan aktiviti yang sesuai untuk semua termasuk keluarga.
Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai bbarangan eksklusif seperti produk cenderamata rasmi Kejuaraan Cub Prix, dan pelbagai produk menarik dengan harga istimewa di khemah-khemah promosi dan pelbagai hadiah menarik turut menanti pengunjung.
Jadi, apa tunggu lagi, jom ke kawasan promosi Cub Prix!
3. Dapat berjumpa pelumba kegemaran
Di pentas perlumbaan inilah semua pelumba-pelumba terbaik negara beraksi. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk bertemu idola dan pelumba-pelumba kesayangan anda.
Jangan lupa untuk berswafoto bersama mereka sebagai kenangan. Yang pasti, pelumba-pelumba ini tidak sombong untuk melayan anda!
4. Persembahan artis
Bagi yang hadir ke beberapa pusingan terakhir musim 2016 pasti terhibur dengan dengan persembahan nyanyian artis-artis terkenal tanah air yang diadakan selepas perlumbaan berakhir.
Sama seperti tahun ini, pegunjung akan dimeriahkan dengan aktiviti nyanyian yang akan berlangsung selepas perlumbaan tamat. Terima kasih kepada rakan penaja hiburan Cub Prix – One XOX. Jangan tunggu lagi untuk melihat aksi penyanyi kegemaran anda dengan lebih dekat.
5. Rasai Debaran Perlumbaan
Sebagai pentas perlumbaan, sudah pasti perkara paling utama adalah perlumbaan itu sendiri.
Debaran dan persaingan sengit untuk menentukan siapa yang terbaik tidak wajar untuk dilepaskan.
Aksi-aksi dan insiden luar jangka juga menjadi antara tarikan kepaada penonton. Namun, dalam keghairahan memberikan sokongan kepada pelumba kegemaran anda, ingat, jangan abaikan arahan atau aspek keselamatan yang telah ditetapkan!
6. Konvoi
Setiap kali perlumbaan berlangsung pastinya akan menerima kehadiran peserta-peserta konvoi motosikal dan adakalanya turut disertai motosikal-motosikal unik dan mempunyai pelbagai ciri menarik.
Kepada kelab-kelab motosikal di luar sana, jangan lupa hubungi pihak penganjur untuk mendapatkan keistimewaan untuk berkunjung ke Cub Prix. Jika tidak tahu caranya, utarakan sahaja soalan anda melalui facebook Malaysian Cub Prix.
7. Bazar Jualan
Tahun ini aktiviti di kawasan promosi Cub Prix dimeriahkan dengan kehadiran bazar khas untuk peniaga-peniaga kecil terutama peniaga tempatan di setiap venue perlumbaan.
Keutamaan diberikan kepada peniaga-peniaga kecil khususnya peniaga tempatan yang ingin memasarkan produk mereka tidak kira pakaian, barangan peribadi, dan lain-lain.
Bagi yang berminat boleh hubungi pihak penganjur untuk dapatkan maklumat lanjut kerana ada syarat-syarat khas yang perlu dipatuhi sebelum anda dibenarkan untuk berniaga. Yang pasti, dengan adanya bazaar ini memberi lebih banyak peluang membeli belah kepada pengunjung.
8. Aktiviti sampingan menarik
Pelbagai aktiviti sampingan akan turut diadakan seperti aktiviti senaman dan kecergasan, perlawanan futsal dan banyak lagi yang akan memeriahkan perlumbaaan Cub Prix pada tahun ini.
Tidak ketinggalan juga aktiviti seperti pemeriksaan motosikal, sesi uji pandu motosikal, dan banyak lagi yang pastinya memberikan kepuasan kepada anda.
9. Bergambar
Tidak lengkap jika anda mengunjungi Cub Prix tanpa mengambil peluang untuk merakam gambar-gambar menarik sebagai kenang-kenangan. Selain bergambar dengan pelbagai jenis motosikal dan produk menarik yang dibawakan oleh penaja-penaja, pasti ada yang datang untuk bergambar dengan gadis-gadis atau ‘grid girl’ dan ‘promo girl’.
10. Pameran PETROSAINS
Tahun ini Cub Prix lebih meriah dengan pameran PETROSAINS oleh PETRONAS. Bagi ibu bapa, ini merupakan waktu sesuai untuk membawa anak-anak melihat pameran sains dan teknologi yang dibawakan dekat kepada anda. Satu peluang yang bukan mudah untuk anda dapati di tempat lain.
Leave a Reply