fbpx

WIRAMUDA V-FIERTECH ACADEMY RACING BUKA RUANG UNTUK PELUMBA BANGKIT

Pastinya bukan tugas yang mudah untuk menubuhkan dan mengurus sebuah pasukan lumba untuk bersaing di pentas Cub Prix. Tambahan pula jika tiada pengalaman dan tidak pernah terlibat dengan sukan permotoran. Selain memerlukan kos yang tinggi, pelbagai pengetahuan teknikal harus dikuasai oleh setiap pemilik pasukan namun itu tidak menjadi penghalang buat pasangan suami isteri Mohd Jemat Baharim dan Noor Sahila Mohd Noor untuk melakukannya.

Bermula dengan pelawaan rakan yang menyertai Cub Prix, usahawan muda yang pada waktu itu berumur 30 tahun bersama isteri beliau membuat keputusan menubuhkan pasukan mereka sendiri pada 2015. Bersandarkan pengalaman lebih 15 tahun terlibat dan memiliki 2 syarikat pengeluaran produk automotif dan pemborong bahan kimia, pasangan ini yakin Cub Prix merupakan medan terbaik untuk mereka. Di samping membuka ruang kepada bakat muda untuk menyertai perlumbaan, Cub Prix juga menjadi platform untuk penjenamaan dan pemasaran produk mereka sekaligus dapat melakukan kajian yang penyelidikan secara langsung produk mereka pada jentera dalam situasi perlumbaan yang kompetitif.

Berbeza dengan pasukan ‘senior’ yang lain, mereka lebih cenderung untuk memberi peluang kepada pelumba-pelumba muda yang berbakat namun tidak berpeluang atau terpilih untuk menyertai pasukan ternama. Mereka lebih menumpukan kepada kebajikan dan disiplin pelumba dalam membantu mereka untuk bangkit dan naik ke peringkat yang lebih baik.
 
Pada awalnya mereka menubuhkan pasukan dengan nama V-Fier Oil Legacy Motorsports Racing dan mempertaruhkan 3 jentera dalam kategori CP115 dan Wira serta menyokong pelumba persendirian untuk berlumba dalam kelas PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup dan pada 2017 pasukan ini mengejutkan pasukan-pasukan lain apabila meraih podium sulung menerusi Md Aiman Azman yang berjaya memenangi tempat kedua pada perlumbaan Wira KBS Pusingan 8 yang diadakan di Jempol.
 
Pada tahun kedua, menggunakan nama V-Fier Oil Racing Team mereka meneruskan saingan dalam ketiga-tiga kelas berkenaan.
Sepanjang dua musim ini, antara pelumba-pelumba yang pernah diberi peluang adalah seperti pasangan adik beradik Firdaus dan Haziq Hamdan yang diberi sokongan dalam kelas PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup masing-masing pada musim 2017 dan 2018 dan kedua-dua mereka kini bersama pasukan Elf Koyoko Honda KC Racing. Selain itu, Md Shahzul Naim Razali dan Md Khairi Asyraf Mahmood juga pernah bersama mereka.
 Bemula musim 2019, mereka telah menumpukan perhatian kepada pelumba-pelumba muda dalam saingan kelas Wira KBS dengan menjenamakan pasukan sebagai Wiramuda V-Fiertech Academy Racing. Akif Hakimi Zainuddin yang mula menyertai pasukan ini pada 2018, membalas kepercayaan pasukan apabila menghadiahkan podium buat mereka di Pontian ketika Pusingan 4 dan sekali lagi di Jempol pada Pusingan 9. Akif yang pada peringkat awal menyertai pasukan ini hanya sering memulakan perlumbaan di barisan belakang telah dibentuk sehingga memampu bersaing dengan kumpulan hadapan sekaligus menjejakkan kaki ke podium.

Disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda pada musim 2020, rentak mereka melalui 2 pelumba kelas Wira KBS agak terganggu apabila majoriti perlumbaan diadakan di Litar Sepang. Kekurangan pengalaman untuk bersaing di litar besar seperti itu mungkin menjadi faktor prestasi mereka yang sedikit menurun.

Pastinya mereka akan bangkit lebih kuat pada musim 2021 nanti seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini.