SYAMIL UNGGULI CARTA

Pusingan 6 PETRONAS Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan prestasi meyakinkan daripada Md Syamil Amsyar Md Iffende yang menamatkan sesi kelayakan CP125 di kedudukan teratas dengan catatan terpantas 1’19.580s. Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING itu turut menampilkan persembahan konsisten dalam kelompok lima terpantas sejak Latihan 1, mengukuhkan reputasinya sebagai antara pilihan utama untuk pusingan kali ini.

Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING berusaha menandingi masa Syamil namun terpaksa akur di kedudukan kedua, hanya 0.021s di belakang menerusi catatan 1’19.601s. Sementara itu, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menamatkan sesi di tempat ketiga dengan masa 1’19.671s, sekali gus meletakkan tiga pasukan berbeza dalam kelompok teratas.

Syamil berkata, “Strategi saya minggu ini adalah untuk berada di podium. Saya telah menyusun strategi yang baik bersama rakan saya, Farid Hakimi. Kami lebih fokus kepada sesi Shoot Out dan perlumbaan esok. Dari Latihan 1 ke Latihan 2, saya memang tidak dapat pelarasan yang baik, tambahan pula minggu ini saya dalam keadaan demam. Bagaimanapun, saya akan cuba lakukan apa yang terbaik esok.”

Saingan di kelompok pertengahan turut sengit, dengan Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS dan Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING memanfaatkan sesi kelayakan untuk mendapatkan data penting sebagai persediaan melakukan pelarasan akhir jentera menjelang perlumbaan esok.

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION

  1. Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (1’19.580s)
  2. Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (1’19.601s)
  3. Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (1’19.671s)
  4. Arash Tsunami Kamarudin – ATAS AHM MOTOR SPORTS (1’20.120s)
  5. Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (1’20.290s)