Selepas berehat hampir sebulan, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 kembali menggegar gelanggang minggu ini.
Litar Antarabangsa Chang di Buriram Thailand akan menjadi destinasi untuk Pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei hingga 2 Jun ini.
Pusingan 3 ini pasti menjadi medan terhebat buat semua pelumba kerana mereka sudah berehat hampir sebulan selepas aksi Pusingan 2 di The Bend Motorsports Park, Australia awal April lalu.
Tempoh sebulan itu pastinya memberi ruang kepada semua pelumba untuk kembali berada pada tahap kecergasan terbaik.
Justeru, kehadiran mereka pada saingan Pusingan 3 ini bakal berbeza kerana para pelumba sudah bersedia dari segi kekuatan mental dan fizikal.
Malah, jaguh-jaguh yang mengalami kecederaan pada pusingan lalu, juga sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Situasi tersebut akan menjadikan saingan di Buriram minggu ini lebih menarik, mencabar dan ‘panas’, sehangat bahang yang melanda daerah Buriram minggu ini.
Tumpuan minggu ini bakal terarah kepada saingan bagi kelas ASB1000 yang baharu disenaraikan dalam ARRC mulai tahun ini.
Atas kertas, memang tiada pelumba pilihan tetapi beberapa pelumba berpengalaman yang pernah beraksi dalam kelas perdana ini di kejuaraan lain sebelum ini sudah pasti mencuri tumpuan.
Sebab itulah pada dua pusingan terdahulu, iaitu di Litar Sepang (8-10 Mac) dan Australia (awal April), tiada pelumba yang mendominasi kategori ASB1000 ini.
Setakat ini, empat pelumba berbeza mencatat nama sebagai juara yang menyaksikan Md Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing with SHOWA) menguasai Perlumbaan 2 dan pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, menjuarai Perlumbaan 2 di Sepang.
Di Australia pula, pelumba tuan rumah menguasai saingan dengan Bryan Staring (Kawasaki Thailand Racing team) memenangi Perlumbaan 1 diikuti Broc Parkes (Yamaha Racing Team Asean) menjuarai Perlumbaan 2.
Melihat senario ini, adakah saingan di Buriram, Thailand nanti bakal dikuasai pelumba tuan rumah yang mempertaruhkan tiga pelumba dalam kategori ASB1000, iaitu Apiwath Wongthananon (Yamaha Thailand Racing Team); Chaiwichit Nisakul(Kawasaki Thailand Racing Team) dan Ratthapong Wilairot (Yamaha Thailand Racing Team).
Apa yang pasti, tiada laluan mudah buat mereka walaupun memiliki kelebihan selaku tuan rumah kerana sebahagian besar daripada pelumba sangat memahami selok-belok Litar Antarabangsa Chang di Buriram ini.
Litar ini merupakan medan kegemaran pelumba Malaysia, khususnya Zaqhwan yang menggalas cabaran pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA.
Bagi Zaqhwan, walaupun sedang menjalani ibadah puasa, tetapi pasukannya tetap menjalankan latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan.
Sepanjang bulan Ramadan ini, tumpuan mereka adalah kepada latihan fizikal dan mental agar kekal fokus dengan saingan yang bakal dihadapi.
“Kami lebih banyak melakukan latihan untuk menguatkan mental dan fizikal manakala kerja-kerja penyelarasan untuk jentera diserahkan kepada krew pasukan,†jelas Zaqhwan.
Sasarannya pada Pusingan 3 kali ini adalah untuk menjejak kaki di podium kemenangan dan ia bukan sesuatu yang mustahil jika jenteranya mendapat pelarasan yang baik pada hari perlumbaan nanti.
Selain saingan bagi kelas ASB1000, turut menjadi perhatian adalah kelas SS600 yang ketika ini didominasi pelumba Thailand, Peerapong Boonlert.
Pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing ini telah mendominasi saingan dalam dua pusingan sebelum ini tetapi kejayaan tersebut tidak diperoleh di gelanggang sendiri.
Setakat ini, dia belum pernah menjejak podium juara ketika beraksi di laman sendiri dan kali ini, dia bertekad untuk mengakhiri kemarau tersebut.
Begitupun, tiada laluan mudah buat dia kerana beberapa pelumba lain seperti Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia), Andi Farid Izdihar (ASTRA Honda Racing Team) dan juga Azroy Hakeem Anuar (Muasashi Boon Siew Honda Racing) adalah antara pencabar yang tidak boleh dipandang remeh.
Kehadiran Kasma kali ini bakal memberi kelainan dalam perebutan untuk menjejak podium kemenangan yang sebelum ini dilihat sukar untuk digugat pada aksi Pusingan 1 di Sepang.
Kasma tidak beraksi pada Pusingan 2 di Australia kerana tarikhnya bertembung dengan jadual perlumbaan Kejuaraan Motosikal Eropah Moto2 (CEV) Sepanyol.
Pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia itu yang muncul naib juara pada aksi di Sepang kini tetap mengintai penyudah podium di Buriram.
Kehadiran sulung pelumba China pada aksi Pusingan 3 ini, iaitu Ma Sai yang menggalas cabaran pasukan Yamaha Maxpeedingrods juga bakal menambahkan lagi kerancakkan bagi saingan kelas SS600 nanti.
Apa pun, pasukan yang mendapat pelarasan terbaik dengan jentera mereka pasti mampu untuk menawan litar sepanjang 4.5 kilometer (km) di Buriram nanti.
Â
INFO
KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
ASB1000 ( 5 teratas)
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team Asean – 72 mata
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing With SHOWA – 51
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team Asean – 48
Azlan Shah Kamaruzaman(MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 47
Bryan Staring (AUS) Kawasaki Thailand Racing Team – 45
SS600cc (5 teratas)
Peerapong Boonlert (THA) YAMAHA Thailand Racing Team – 100 mata
Andi Farid Izdihar (INA) ASTRA HONDA Racing Team- 49
Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew HONDA Racing Team – 49
Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong YAMAHA Malaysia – 36
Md Helmi Azman (MAS) Musashi Boon Siew HONDA Racing Team – 32
AP250cc (5 teratas)
Aiki Iyoshi (JPN) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 68
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT KAWASAKI Racing – 65
Muklada Sarapuech (THA) A.P. HONDA Racing Thailand – 61
Lucky Hendriansya (INA) ASTRA HONDA Racing Team – 44
Awhin Sanjaya (INA) ASTRA HONDA Racing Team – 38
Underbone 150cc (5 teratas)
McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 41
Fernando Masato (PHI) UMA Racing Yamaha Philippines Team – 36
Md Affendi Rosli (MAS) Team One For All (Yamaha) – 28
Md Amirul Ariff Musa (MAS) Yuzy Honda Racing – 27
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All (Yamaha) – 24