fbpx

SESI LATIHAN BEBAS AGENDA PEMBUKA TIRAI PUSINGAN 3 ARRC

Sesi latihan bebas menjadi agenda pembuka tirai pada saingan Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Chang hari ini.

Seperti biasa, sesi tersebut merupakan medan buat semua pasukan untuk melakukan keraj-kerja pelarasan terhadap jentera mereka agar ia menepati gaya tunggangan para pelumba.

Namun, apa yang lebih penting adalah setiap pelarasan yang dilakukan harus bersesuaian dengan keadaan litar.

Bacaan suhu semasa di litar juga turut diambil kira agar prestasi jentera berjalan lancar tanpa berdepan risiko masalah teknikal.

Setiap pasukan bagi kelas Underbone 150, AP250 dan SS600 diberi masa selama setengah jam untuk mengharungi sesi latihan bebas itu kecuali bagi kategori ASB1000 yang diperuntukkan masa selama 40 minit.

Hari ini, mereka ada tiga sesi latihan bebas untuk diharungi, masing-masing satu sesi pada sebelah pagi, tengah hari dan petang.

Kepantasan bukan matlamat utama pada sesi latihan bebas ini kerana ia merupakan pentas untuk menyediakan jentera agar setiap pelarasan itu memberi keselesaan kepada pemandu dan juga dengan keadaan litar.

Sesi latihan bebas ini adalah pentas buat krew teknikal untuk mempamerkan kecekapan mereka agar semua input yang diperoleh daripada para pelumba dapat diselesaikan dengan sempurna.

Kesesuaian tayar serta keberkesanan cengkaman brek amat penting kerana ia akan memudahkan tugas para pelumba untuk menawan 12 selekoh mencabar yang ada di litar sepanjang 4.5 kilometer (km) itu.

Bagi pengurus pasukan Yuzy Honda Racing, ShahrolYuzy Ahmad Zaini, keutamaan pada sesi hari ini adalah untuk menyediakan pelarasan terbaik buat jentera.

Menurutnya, pasukan pasukan akan bekerja keras untuk menentukan bentuk ‘setting’ terbaik yang akan bertindak sebagai senjata utama bagi menghadapi saingan sebenar esok.

“Bagi kami, ini adalah ruang yang perlu dipergunakan sebaik mungkin bagi memastikan jentera betul-betul mantap untuk menghadapi perlumbaan sebenar.

“Segala kelemahan yang dikenal pasti akan diatasi segera dan apa yang lebih penting adalahinput daripada para pelumba selepas mengharungi sesi latihan bebas ini.

“Kami harus pastikan kerja-kerja pelarasan ini menepati kemampuan pelumbadan juga bersesuaian dengan keadaan litar,” jelas Yuzy.

Selain itu, penggunaan gegancu (spoket) yang memiliki saiz berbeza, juga sangat penting kerana ia memainkan peranan untuk mengimbangkan kepantasan jentera.

Sesi sehari suntuk itu telah memberi manfaat buat semua pasukan kerana mereka mampu mengenalpasti kelebihan serta kekurangan yang ada pada jentera.

Pelarasan terbaik akan menjadi senjata taruhan mereka untuk mengharungi cabaran sebenar esok.