PUSINGAN 4 CUB PRIX MALAYSIA PETRONAS SINGGAH DI PONTIAN

 

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Pontian, sebuah daerah di barat daya Johor akan menjadi destinasi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 pada 20-21 Julai ini.

Daerah seluas 932.64 kilometer itu dengan penduduk berjumlah kira-kira 150,000 orang, pastinya sudah tidak sabar untuk memeriahkan kejuaraan motosikal terhebat di negara ini.

Ini merupakan kali pertama Pontian dipilih menjadi tuan rumah kejuaraan Cub Prix yang kini sudah berusia 25 tahun sejak ia mula diperkenalkan pada 1994.

Tiada kejuaraan dua roda lain yang kekal kukuh sehinga ke hari ini kecuali Cub Prix, dan hakikat tersebut pastinya mendorong Pontian untuk menjadikan saingan Pusingan 4 itu nanti sebagai sesuatu yang terhebat dan terbaik untuk tontonan masyarakat tempatan.

Sebagai persediaan menganjurkan kejuaraan terunggul negara itu, pihak berkuasa tempatan Pontian baru-baru ini bersama-sama wakil pihak penganjur, telah mengadakan sesi dialog dengan beberapa pemilik premis perniagaan bagi memberi penerangan mengenai acara tersebut.

Taklimat lebih tertumpu kepada perkara-perkara seperti penutupan beberapa jalan utama yang akan diubah menjadi litar untuk kejuaraan itu nanti.

Persinggahan kejuaraan ini di Pontian juga akan membolehkan para peminat sukan pemotoran di daerah berkenaan untuk menyaksi atau bertemu secara langsung dengan barisan pelumba hebat negara yang akan menghiasi saingan pada Pusingan 4 itu nanti.

Ia peluang yang seharusnya tidak boleh dilepaskan oleh para peminat di dearah berkenaan kerana saingan Pusingan 4 itu nanti bukan sahaja menyajikan aksi hebat di litar, tetapi juga turut menyediakan pelbagai gerai promosi untuk komsumsi para pengunjung.

Ketika Pontian mahu menjadikan kejuaraan itu nanti sebagai antara yang terbaik, semangat semua pasukan yang akan beraksi juga semakin memuncak.

Mereka sudah lama berehat selepas berakhirnya perlumbaan Pusingan 3 di Tangkak, Johor pada 3-4 Mei lalu bagi menghormati bulan Ramadan.

Minggu depan, mereka akan kembali ke gelanggang dengan harapan dapat memenuhi misi masing-masing agar persaingan menjadi semakin sengit dan mencabar.

Apa yang menarik pada saingan Pusingan 4 nanti adalah semua pelumba enggan meletakan sasaran masing-masing kerana mereka masih belum mengetahui bentuk litar yang akan menjadi medan persaingan.

Menurut pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley, saingan di Pontian nanti mungkin sukar buat semua pelumba kerana sebahagian besar belum mengetahui bentuk litar yang akan digunakan.

Situasi ini menurutnya akan menjadikan persaingan di Pontian nanti menarik  untuk diharungi.

“Pontian adalah trek baharu dan memang agak sukar buat semua pelumba. Saya yakin semua pelumba akan bersaing secara sihat dan selamat.

“Bagi saya, sasaran utama adalah untuk memburu penyudah podium dan akan berusaha untuk terus mengutip mata maksimum,” jelas Adib yang bakal turun dengan jentera Yamaha Lagenda di Pontian nanti.

Selepas mengharungi tiga pusingan setakat ini, Adib berada di kedudukan kedua dalam carta keseluruhan kelas CP115 dengan 41 mata hasil muncul juara pada Pusingan 3 di Tangkak dan tempat ketiga pada pusingan 3 di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dia gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka.

Kedudukan keseluruhan kini kekal dipegang pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusuf yang sudah mengumpul 60 mata.

Aizat dilihat konsisten dengan prestasinya setakat ini apabila muncul naib juara dalam tiga pusingan terdahulu.