Barisan pelumba Malaysia memberi bayangan bahawa mereka bakal menakluk Litar Antarabangsa Chang pada saingan Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 minggu ini.
Ia dibuktikan melalui prestasi mereka pada sesi latihan bebas yang menjadi agenda pembuka gelanggang pada Pusingan 3 ARRC 2019 di litar sepanjang 4.5 kilometer itu hari ini.
Walaupun ia sekadar aksi pemanas badan, namun prestasi konsisten yang dipamerkan oleh barisan pelumba Malaysia dalam tiga sesi latihan bebas hari ini sudah cukup untuk membuktikan kesungguhan mereka untuk menakluk bumi Buriram.
Kesemua empat kategori iaitu Underbone 150; AP250; SS600 dan ASB1000 menyaksikan beberapa pelumba Malaysia berada dalam kelompok lima terpantas.
Ia suatu perkhabaran baik dalam misi untuk merealisasikan impian mereka memburu hadiah untuk Hari Raya Aidilfitri minggu depan.
Paling mencuri tumpuan adalah saingan dalam kategori ASB1000 yang menyaksikan penguasaan pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with SHOWA, Md Zaqhwan Zaidi.
Pada dua sesi awal, Zaqhwan muncul pelumba terpantas apabila mencatat masa 1:36.665s pada sesi pertama diikuti catatan yang lebih baik pada sesi kedua iaitu 1:36274s.
Rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, turut memperlihatkan rentak konsisten dengan catatan masa 1:36.845s untuk sesi pertama diikuti catatan 1:36.739s pada sesi latihan kedua.
Dua pelumba ini merupakan pemenang kelas ASB1000 pada aksi Pusingan 1 di Sepang Mac lalu.
Walaupun berupaya melakukan catatan terbaik, namun ia masih belum memberi kepuasan buat Azlan yang tetap mengintai penyudah podium pada aksi Pusingan 3 di Buriram ini.
Menurut pelumba berusia 34 tahun itu, masih ada beberapa pelarasan yang perlu dipertingkatkan kerana secara keseluruhan keupayaan jentera BMW S1000 RR yang ditunggangnya masih belum memberi keselesaan kepadanya.
“Ada sedikit lagi setting yang perlu kami lakukan. Selepas mengharungi dua sesi latihan, keupayaan jentera berada dalam keadaan baik, cuma kami perlu melakukan sedikit perubahan pada spoket. Setakat ini semuanya berjalan lancar,†jelas Azlan yang pernah bersaing dalam Moto2 pada tahun 2013.
Menurutnya, jika mereka mampu mengatasi setiap masalah, peluang untuk menamatkan saingan dengan penyudah podium adalah cerah.
Sebaik berakhirnya sesi latihan bebas petang ini, Azlan melakar nama dengan melakukan catatan terpantas iaitu 1:35.518s, sekali gus mengatasi catatan yang dilakukan oleh Zaqhwan pada sebalah pagi.
Turut menjadi tumpuan pada sesi hari ini adalah kelas SS600 yang menyaksikan permulaan baik buat pelumba pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin.
Walaupun terlalu awal untuk membuat ramalan, namun Kasma dilihat bakal menyempurnakan misinya di Buriram apabila tampil terpantas pada sesi latihan bebas pertama dengan catatan masa 1:40.607s.
Pada sesi kedua, dia muncul pelumba kedua terpantas dengan catatan masa 1:40.753s, ketinggalan 0.541s di belakang pendahulu keseluruhan, Peerapong Boonlert dari Thailand yang menamatkan saingan dengan catatan 1:40.212s.
Prestasi Kasma semakin cemerlang pada sesi latihan ketiga apabila melakukan catatan terpantas, 1:40.345s.
“Semuanya berjalan dengan baik tetapi kami akan tetap bekerja keras untuk mendapat pelarasan terbaik sebelum mengharungi perlumbaan sebenar esok,†jelas Kasma.
Seorang lagi pelumba Malaysia, Md. Ramdan Rosli yang menggalas cabaran pasukan ONEXOX TKKR SAG Team turut tampil konsisten pada sesi latihan bebas hari ini untuk berada dalam kelompok lima terpantas.
Halangan dua pelumba ini sudah pastinya pelumba tuan rumah, Peerapong yang menguasai saingan pada Pusingan 1 dan 2 sebelum ini.
Peerapong kini mendahului kedudukan keseluruhan pelumba dengan mengumpul 100 mata.
Esok, mereka akan mengharungi detik sebenar apabila bersaing dalam Perlumbaan 1 yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.
Sementara itu, bagi kelas AP250, barisan pelumba Thailand dan Indonesia telah menguasai sesi latihan bebas hari ini yang menyaksikan Muklada Sarapuech dari pasukan A.P. Honda Racing Thailand munculpelumba terpantas dengan catatan masa 1:53.138s yang dilakukannya pada sesi latihan ketiga.