Musim ke-32 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan bermula dengan acara pembuka tirainya pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara). Pelumba-pelumba kategori CP125 akan kembali untuk menyahut cabaran baharu dalam misi mengejar gelaran juara.
Di antara mereka adalah Md Syamil Amsyar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang akan meneruskan persembahan untuk mempertahankan kejuaraannya setelah menamatkan musim 2024 dengan jumlah sebanyak 159 mata. Pesaing terdekat, Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing yang gagal meraih takhta kejuaraan pada musim lepas dengan kekurangan sebanyak 20 mata akan turut kembali untuk memberikan saingan terbaik kepada para pelumba di kategori tersebut.
Kedua-dua pelumba tersebut telah membuktikan kebolehan menguasai litar dan kemahiran mengendalikan jentera yang berkesan pada musim lepas. Syamil secara keseluruhan telah menaiki podium sebanyak lapan kali manakala Izam pula berjaya di podium sebanyak lima kali, masing-masing dengan tiga kemenangan. Persoalannya, siapakah di antara mereka yang mampu mengatasi cabaran sepanjang sepuluh pusingan yang akan datang nanti?
Menurut Syamil, “Musim ini agak penting untuk saya kerana matlamat utama saya adalah untuk mempertahankan kejuaraan. Persediaan sudahpun bermula dari awal lagi terutamanya dari segi kecergasan fizikal. Saya juga banyakkan latihan motor untuk memastikan kecergasan saya lebih baik daripada musim lepas. Saya agak yakin yang Izam, Farish dan pelumba-pelumba lain akan bersaing dengan lebih hebat pada musim ini. Oleh itu, saya perlu lebih bersedia untuk menyahut cabaran yang bakal menanti. Kelebihan saya mungkin adalah keberanian mengambil risiko. Selain itu, saya juga sentiasa mengunakan strategi seperti yang telah dirancang oleh pasukan. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan kejuaraan saya pada musim ini kerana impian saya adalah untuk mara ke CP150 pada musim seterusnya.”
Izam Ikmal pula berkata, “Musim ini adalah peluang bagi saya untuk merebut takhta kejuaraan dan oleh itu, saya harus berusaha lebih keras. Saya juga nampak pertukaran pelumba ke team lain dan apa yang menarik perhatian dan menyemarakkan lagi semangat saya adalah pesaing-pesaing seperti Haziq Hamdan dan Idlan Hakimi. Tidak lupa juga, juara bertahan, Syamil yang pasti akan memberikan saingan kuat pada musim ini. Latihan saya seperti biasa, lebih kepada kekuatan fizikal dan mental serta kardio. Yang itu, tiada masalah tetapi saya rasa kekurangan saya adalah pada latihan motor berbanding dengan pelumba lain. Namun begitu, saya mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, oleh itu, saya berharap dapat maksimakan pengalaman untuk mencapai suatu pencapaian yang lebih bagus. Matlamat saya adalah untuk meraihkan juara keseluruhan.”
Turut menyertai kategori CP125 pada musim ini Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing yang telah meraih tempat ketiga pada musim 2024 di kategori Wira KBS dan akan menyertai pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Md Qhuwarismi dari kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup akan menyertai pasukan RS Megatech Racing Team. Selain itu, Md Haziq Hamdan dari pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing akan bertukar ke pasukan Yamaha setelah empat tahun di pasukan Honda bermula 2020 hingga 2024.


Leave a Reply