MISI AZROY BURU PODIUM PERTAMA 2017

Azroy Hakeem Anuar dalam misi memburu podium pertama kelas CP115 bagi musim 2017 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 20 dan 21 Mei ini.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu dianggap antara pencabar utama kejuaraan musim ini setelah menunjukkan prestasi cemerlang ketika sesi ujian pra-musim rasmi di Melaka, Februari lepas namun terlepas aksi pada dua pusingan awal musim 2017 kerana menyertai siri Asia Talent Cup manakala pusingan ketiga di Kemaman terpaksa dibatalkan sekaligus menyaksikan pelumba itu masih belum memungut sebarang mata.

 

“Saya masih mencari rentak untuk menyesuaikan diri dengan jentera CP115 setelah tidak dapat beraksi pada pusingan pertama dan kedua,” jelas Azroy.
“Pada pusingan ketiga pula saya hanya dapat melakukan berapa pusingan sahaja, dan pada masa sama saya masih tercari-cari rentak tunggangan agresif yang dilakukan pada tahun lepas.”
Tambah Azroy lagi, “Pada minggu ini, matlamat saya adalah mendapat podium kerana saya ingin menghadiahkan kemenangan kepada pemilik pasukan iaitu Shahrol Yuzy Ahmad Zaini memandangkan perlumbaan ini berlangsung di kampung halamannya.”