Md Arrfan Ashraf daripada PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING kini bersedia untuk kembali bangkit menjelang Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Pelumba muda dalam kategori Wira KBS ini memulakan musim 2025 dengan langkah kanan apabila meraih podium ketiga pada Pusingan 1. Namun, selepas itu perjalanan tidak semudah yang dijangka apabila keputusan beliau kurang konsisten, termasuk tiga kali gagal menamatkan perlumbaan (DNF).
“Terus terang, prestasi saya sepanjang musim ini belum memuaskan kerana tiga kali DNF menyebabkan keputusan saya kurang konsisten,” jelas Arrfan. “Tetapi walaupun begitu, saya tidak pernah berfikir untuk mengalah. Saya berazam untuk bangkit lebih kuat di Pusingan 8 ini.”
Dari sudut mental, Arrfan mengakui banyak yang dilaluinya. “Memang ada rasa kecewa bila tidak dapat menghabiskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Namun, setiap kali saya jatuh, saya belajar untuk bangkit semula. Cabaran ini menjadikan saya lebih tabah,” katanya.
Bagi Arrfan, pengalaman menentang pelumba yang lebih berpengalaman juga telah menjadi guru terbaik. “Pengajaran terbesar ialah dapat berlumba dengan pelumba yang jauh lebih hebat daripada saya. Dari situ saya belajar tentang mental, fizikal dan juga tahap kecergasan yang diperlukan. Ia betul-betul menguji saya.”
Menjelang aksi di Dataran Seri Jempol, Arrfan menegaskan persiapannya sudah dirangka rapi. “Sebelum ke Pusingan 8, saya berlatih di Horizon Baranang Circuit dan juga memberi tumpuan kepada latihan kecergasan. Saya mahu pastikan diri saya benar-benar bersedia untuk tampil dengan prestasi cemerlang di litar Dataran Seri Jempol,” katanya penuh semangat.
Menyentuh tentang karakter litar, Arrfan berkata: “Bagi saya, litar di Dataran Seri Jempol ini agak teknikal. Tetapi saya melihatnya sebagai peluang terbaik untuk bangkit. Saya mahu turun dengan semangat baru, cuba dapatkan keputusan terbaik, dan kalau boleh, berada di atas podium.”
Motivasi utamanya datang daripada keinginan untuk menebus prestasi musim ini. “Apa yang saya mahukan ialah menamatkan perlumbaan dengan baik, mengumpul mata, dan paling penting, memberikan keputusan yang membanggakan pasukan saya. Saya tahu bukan mudah, tetapi saya mahu buktikan sesuatu kepada pasukan dan diri saya sendiri.”
Tentang sasaran di Pusingan 8, Arrfan tidak berselindung. “Saya mensasarkan untuk tampil lebih baik daripada pusingan sebelum ini. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencapai kemenangan buat PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING di Dataran Seri Jempol. Pusingan ini peluang saya untuk bangkit, dan saya mahu memanfaatkannya sebaik mungkin,” tekadnya.