Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 berlangsung hari ini, Litar Lumba Tangkak, Johor menjadi saksi kehebatan Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang mengungguli perlumbaan Wira KBS dalam aksi dramatik dibasahi hujan.
Md Iman Fahmi Senin dari WINBOX KM+ AXLA bermula dari petak pertama dengan catatan 45.970s, diikuti oleh Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM pada 45.984s dan Md Ikram Dani dari WINBOX KM+ AXLA pada 46.048s.
Perlumbaan yang bermula dalam keadaan kering bertukar mencabar apabila hujan lebat melanda sejurus selepas bendera hijau. Bermula dari petak ke-10, Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING melonjak ke hadapan dalam masa singkat, bersaing rapat dengan Akif.
Aksi saling memintas antara Farres dan Akif mencuri tumpuan sepanjang perlumbaan, seolah-olah kedua-duanya membawa misi kebangkitan. Di pusingan terakhir, Akif memintas Farres dan mengekalkan kedudukan. Cubaan berani Farres untuk mengambil alih di selekoh terakhir berakhir dengan insiden jatuh akibat hilang kawalan ketika membrek.
Akif menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9’50.464s, diikuti dua pelumba dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Nuzzul Ady Md Sudin pada 9’52.363s dan Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki pada 9’53.891s.
Akif berkata, “Perlumbaan tadi saya tidak jangka akan hujan. Ada selekoh basah, ada yang kering. Saya juga tak sangka Farres akan berada di depan kerana dia bermula dari petak ke-10. Apabila dia sampai, saya tahu saya perlu bekerja lebih keras. Saya ambil keputusan untuk jimat penggunaan tayar dan mengekori Farres sehingga pusingan terakhir sebelum saya bertindak memintas untuk menang.”

