KASMA UNGGUL, SAH KEDUA KESELURUHAN

Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Stadium Negeri Pulau Pinang menyaksikan persaingan sengit kategori CP150 apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mempamerkan prestasi cemerlang untuk memenangi perlumbaan, sekaligus mengesahkan tempat kedua keseluruhan CP150 bagi musim 2025.

Sebaik perlumbaan bermula, Kasma pantas ke hadapan untuk mendahului, diikuti Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING dan rakan sepasukan Kasma, Danial Syahmi Ahmad Shahril. Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING berada di kedudukan keempat, manakala Md Idil Fitri Mahadi dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM di tempat kelima.

Md Syafiq Rosli dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM terjatuh pada pusingan kelima menyebabkan bendera merah dikibarkan. Perlumbaan disambung semula dengan 12 pusingan.

Kasma terus memimpin perlumbaan, manakala persaingan di kelompok kedua semakin sengit. Pusingan kesepuluh menyaksikan Afif mencatat masa terpantas 51.092s untuk menafikan Azroy di kedudukan kedua. Pusingan-pusingan berikutnya menyaksikan Kasma mengekalkan momentum hebatnya, meninggalkan Afif dengan jurang 2.159s, manakala Azroy berada 2 saat di belakang Afif.

Kasma menamatkan perlumbaan sebagai pemenang dengan catatan 14’20.373s, diikuti Afif pada 14’21.497s dan Azroy di tempat ketiga dengan 14’24.050s. Kemenangan ini menyumbangkan 25 mata, menjadikan jumlah mata Kasma 147, 26 mata di hadapan Akid di tangga ketiga keseluruhan, sekaligus mengesahkan kedudukannya di tangga kedua musim 2025, di bawah Afif yang sudah sah sebagai juara.

Kasma berkongsi, “Saya berterima kasih kepada pasukan saya dan ingin memohon maaf kerana gagal meraih gelaran juara keseluruhan. Namun begitu, musim depan masih ada lagi, dan masih banyak tahun untuk bersaing. Saya mengambil musim ini sebagai pengajaran untuk terus maju dan lebih matang dalam tunggangan menjelang musim hadapan. Saya tetap bersyukur dapat menamatkan musim ini di tempat kedua keseluruhan. Dalam perlumbaan tadi, saya hanya fokus pada kawalan kelajuan saya kerana cuaca agak panas, yang berkemungkinan mengurangkan cengkaman tayar. Saya risau Afif akan semakin mendekati saya, tetapi Alhamdulillah saya mampu mengekalkan catatan masa saya dari awal hingga penghujung perlumbaan dan memenangi lagi perlumbaan di sini. Masih ada satu pusingan terakhir di Johor, jadi jumpa anda di tempat kelahiran saya!”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’20.373s)
  2. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’21.497s)
  3. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA ESTREMO YUZY RACING (14’24.050s)
  4. MD AKID AZIZ – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’26.520s)
  5. DANIAL SYAHMI AMAD SHAHRIL – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’27.814s)