KASMA BANGKIT KUASAI KELAYAKAN

Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Stadium Negeri Pulau Pinang menyaksikan aksi mendebarkan dalam kategori CP150 apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR menutup sesi kelayakan dengan catatan masa terpantas keseluruhan, 51.619s.

Terdahulu pada sesi Latihan Bebas 2, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING mendahului senarai dengan masa 51.768s, diikuti Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING pada 51.975s dan rakan sepasukannya, Md Akid Aziz pada 52.252s, manakala Kasma ketika itu berada di kedudukan keempat.

Namun, sesi kelayakan membuktikan keupayaan untuk bangkit apabila Kasma tampil cemerlang selepas mencatat peningkatan berbanding prestasinya pada sesi Latihan Bebas 2, sekaligus mengesahkan statusnya sebagai calon utama untuk menguasai perlumbaan esok. Catatan itu turut memberinya kelebihan tipis berbanding Azroy, yang berada di tempat kedua dengan masa 51.716s, yang hanya dipisahkan 0.097s.

Saingan sengit turut datang daripada Afif yang merekodkan 51.863s untuk menduduki tempat ketiga, manakala Idil Fitri Mahadi dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM mengekalkan rentak konsisten dengan 51.943s di kedudukan keempat. Rakan sepasukan Azroy, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, melengkapkan kelompok lima terbaik dengan catatan 52.048s.

Kasma berkata, “Berbanding tahun lepas, litar sedikit berbeza terutama di chicane corner pada dua selekoh S, yang kini lebih kecil. Catatan masa juga berbeza, tahun lepas lebih pantas sekitar 50 saat, manakala tahun ini sekitar 51 saat sahaja. Tetapi dalam perlumbaan mungkin saya boleh capai 50.900s walaupun agak sukar. Hari ini saya nombor 1, tetapi esok ada sesi Super Pole dan perlumbaan yang lebih penting, jadi kita lihat bagaimana prestasi esok.”