Md Danish Fitri Aimizam bersiap sedia untuk menebus prestasi dan memberi yang terbaik di Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang akan berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan. Pelumba berbakat dari Negeri Sembilan ini bertanding dalam kategori PETRONAS SPRINTA PRO-AM CUP dan telah menunjukkan dedikasi tinggi walaupun menghadapi musim yang penuh cabaran.
“Persiapan saya untuk pusingan di tempat sendiri ini sudah dilakukan dengan sepenuh hati, dari segi kecergasan fizikal dan mental. Saya ingin pastikan diri saya berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi minggu perlumbaan yang penuh cabaran ini,” kata Danish.
Danish bukanlah pendatang baru di litar Jempol. “Saya pernah menamatkan perlumbaan di podium kedua pada tahun 2019, manakala tahun-tahun berikutnya saya berjaya mengekalkan kedudukan dalam top 5. Namun, tahun lepas pengalaman di sini agak sukar apabila saya mengalami kemalangan di selekoh 3 yang menyebabkan kecederaan parah pada tulang belakang. Strategi utama saya untuk Pusingan 8 ini akan menyesuaikan diri dengan keadaan hari perlumbaan dan cuaca, tetapi pasukan saya telah menyediakan susun atur strategi khas untuk litar ini, jadi kita akan lihat hasilnya pada hari perlumbaan nanti.”
Musim ini penuh dengan ujian bagi Danish, terutama berkaitan kerjasama dengan pasukan yang masih baru. “Cabaran terbesar saya adalah menyesuaikan diri dengan jentera pada setiap pusingan. Pasukan saya berpusat di Pulau Pinang, jadi kami menghadapi kekurangan masa untuk setup motor dan mendapatkan data penting. Namun, kami sentiasa berkomunikasi seminggu sebelum perlumbaan melalui ‘group chat’ untuk mengenal pasti kesilapan dan strategi membaikinya. Cabaran ini mengajar saya tentang kesabaran, komunikasi, dan kerja berpasukan.”
Danish menekankan bahawa cabaran sengit di setiap pusingan adalah pendorong utama. “Tahun ini ramai pelumba berpengalaman yang menyertai kategori ini, jadi ia memberi motivasi untuk bersaing secara sihat. Saya ingin memberikan keputusan terbaik untuk pasukan dan membalas kekecewaan pusingan lepas. Semangat ini menjadi dorongan utama saya untuk terus berjuang.”
“Semestinya pusingan ini adalah yang paling saya nantikan kerana berlumba di tempat sendiri memberikan perasaan gembira dan sedikit nervous,” ujar Danish. “Saya mempunyai peminat dari Kolej Komuniti Jempol yang akan menyaksikan perlumbaan, jadi saya ingin memberi persembahan terbaik dan keputusan yang membanggakan mereka. Cabaran mungkin sengit, tetapi semangat saya tidak akan luntur.”
Danish menilai musim ini sebagai satu proses pembelajaran. “Saya belum berpuas hati sepenuhnya kerana beberapa pusingan sebelum ini saya menghadapi masalah jentera yang menyebabkan tidak dapat menamatkan perlumbaan dan mengumpul mata yang sepatutnya. Namun, saya tidak akan menyerah. Saya akan bekerja keras mencari peluang untuk keputusan terbaik pada baki musim ini.”
Bagi pusingan di tempat sendiri, Danish berkongsi sasarannya. “Target utama saya adalah menamatkan perlumbaan dengan baik dan mengumpul sebanyak mungkin mata. Sudah tentu, saya juga berharap dapat menempatkan diri di podium, kerana itu adalah satu pencapaian yang tinggi bagi saya di litar sendiri. Saya akan bekerja keras untuk mencapainya dan membanggakan pasukan serta peminat saya.”