Gambar yang penuh emosi…
Ahli keluarga tidak mampu menahan air mata, bimbang dengan keadaan pelumba yang beraksi di dalam litar.
Saingan sengit dalam detik genting, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, memecut laju ke arah garisan penamat untuk tempat ketiga. Namun, malang sekali, harapannya punah apabila terjatuh di selekoh terakhir.
Nafas lega hanya dilepaskan selepas dikhabarkan bahawa tiada kecederaan serius pada pelumba HONDA KC RACING itu.
Daripada hampir pasti menaiki podium, Farish sekadar menamatkan perlumbaan CP125 Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di P17.
Farish berkata, “Pada permulaan perlumbaan, saya berada dalam keadaan yang baik. Namun, di pertengahan perlumbaan, saya mengalami masalah teknikal pada jentera saya. Saya berusaha untuk mengekalkan posisi dan mengawal pace saya. Di penghujung perlumbaan, saya cuba untuk memintas Qayyum, tetapi malangnya, brek depan saya tidak berfungsi dan saya terjatuh di selekoh terakhir.”
“Ketika itu, perasaan saya sangat kecewa kerana saya hanya tinggal beberapa meter untuk sampai ke garisan penamat. Namun, saya tidak putus asa untuk menyelesaikan perlumbaan ini dan menganggap insiden tersebut bukan rezeki saya. Sekurang-kurangnya, saya raih P17 daripada DNF (Did Not Finish).”
“Apabila melihat gambar ini, timbul perasaan sedih kerana keluarga saya berharap saya boleh naik podium di litar tersebut. Hakikatnya, saya terjatuh, dan sehingga kini, saya masih terasa sebak apabila melihat gambar itu,” kata Farish.
Farish turut menegaskan, “Sukan permotoran ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk diceburi oleh semua orang. Ia melibatkan nyawa dan merupakan sukan yang sangat mencabar serta berisiko tinggi.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya yang banyak memberi sokongan dalam bidang sukan Cub Prix, serta kepada rakan-rakan yang turut memberi kata-kata semangat kepada saya. Saya akan teruskan perjuangan saya menjelang dua pusingan terakhir ini.”

