“DISIPLIN, STRATEGI DAN SOKONGAN PENTING” – ADIB

Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini. Md Adib Arsyad dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor akan menggandakan usahanya untuk memperbaiki kekurangan di kategori CP125.

Satu “DNF” di pusingan pembuka tirai dan satu pusingan tanpa sebarang mata, Adib Arsyad mula membuka langkah di pusingan ketiga di mana beliau menaiki podium di tempat kedua buat pertama kalinya pada musim ini dan mengulangi usaha tersebut di litar Teluk Intan baru-baru ini untuk meraih pencapaian yang sama di podium. Pelumba yang berasal dari Johor ini telah membuktikan kebolehan untuk menimba ilmu dan menyesuaikan diri dengan pantas walaupun ini merupakan tahun pertama berlumba di kategori CP125 yang dikenali sebagai suatu kategori yang amat kompetitif.

Pada musim lepas, Adib meraih tempat ketiga secara keseluruhan di kategori Wira KBS dengan jumlah sebanyak 162 mata setelah menaiki podium sebanyak tujuh kali dengan tiga kemenangan. Di dua pusingan lagi, beliau mencatat satu “DNF” dan satu “EXC”. Adib hanya gagal menaiki podium di litar Teluk Intan di mana beliau meraih tempat kelima. Dengan pencapaian Adib baru-baru ini di Teluk Intan, jelas ternyata beliau bukan sahaja berkemahiran malah mempunyai kaliber sebagai seorang pelumba untuk terus maju di kategori ini.

Adib Arsyad berkata, “Musim ini, saya datang dengan lebih bersedia segi mental dan fizikal. Kami telah memperbaiki beberapa aspek teknikal jentera dan juga banyak menambah baikkan jentera, terutamanya dari segi sistem brek dan enjin. Saya juga lebih memahami corak perlumbaan di CP125 dan ini memberi saya keyakinan untuk bersaing dengan lebih agresif. Cabaran utama adalah menyesuaikan diri dengan intensiti dan tekanan di CP125. Saingan di kategori ini sangat sengit, dan hampir setiap pelumba ada potensi podium. Saya juga masih dalam fasa mengenali karakter setiap pelumba dan bagaimana untuk memanfaatkan kekuatan saya secara strategik.”

“Kami tahu masih ada ruang untuk diperbaiki. Dengan disiplin, strategi yang betul dan sokongan dari pasukan, saya percaya saya mampu beri saingan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik menjelang penghujung musim. Bagi saya, setiap pelumba di CP125 adalah ancaman terutamanya pelumba seperti Izam, Syamil dan Khairi atau pelumba tertentu kerana mereka sangat konsisten dan bijak membaca situasi perlumbaan. Kami sedang fokus pada setup jentera yang lebih stabil untuk litar seterusnya, terutama dari segi suspensi dan gear ratio. Selain itu, saya juga fokus pada latihan simulasi dan kajian data lap time. Komunikasi antara saya dan mekanik juga semakin baik – ini bantu kami lebih bersedia dari segi taktikal.

Mengenai litar, Adib berkata, “Litar Terengganu mencabar, terutamanya dengan beberapa selekoh tajam yang memerlukan brek yang tepat dan kestabilan jentera. Tapi saya suka cabaran seperti ini. Saya yakin dengan pelarasan yang sesuai dan mindset yang fokus, saya boleh buat yang terbaik di sana. Matlamat saya jelas – untuk berada sekurang-kurangnya dalam top 3 keseluruhan dan jika ada rezeki, kejar kejuaraan. Tapi lebih dari itu, saya mahu tingkatkan prestasi diri perlumbaan demi perlumbaan dan terus belajar agar saya boleh bersaing dengan lebih matang dalam musim-musim akan datang.”