DARI PUNCAK, “RESET”, MENDAKI SEMULA

Kembali mendaki dari bawah? Ya, bermula dari kosong..

Prestasi merudum ke? Tidak geng.. Sebaliknya kita bakal menyaksikan Md Farish Iqmal Khayrul Elyas daripada HONDA KC RACING memplot jalan cerita berbeza dalam perjalanan barunya dalam kategori baru iaitu CP125 di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. 

Selepas menjulang juara keseluruhan Wira KBS pada musim 2023, Farish dinaikkan pangkat ke kategori CP125 pada tahun ini di mana pelumba ini akan mengharungi cabaran lebih besar musim ini, untuk menyesuaikan diri dengan kategori baru dalam masa sesingkat mungkin.

Walaupun kali pertama berlumba dalam CP125, Farish dah tunjuk sedikit taringnya apabila menamatkan perlumbaan Pusingan 1 di kedudukan keempat. Bayangkan di mana dia akan berada jika dia berjaya menyesuaikan diri dengan kategori baru dan menguasai jentera sepenuhnya? Tunggu dan lihat…

Farish berkata, “Pembukaan musim di Jasin ni saya sangat-sangat berpuas hatilah sebab target saya di Jasin ni tak tinggi pun, hanya sekadar mendapatkan top 10 je tapi mungkin rezeki saya datang awal di Jasin ni saya dapat menghabiskan race di tempat keempat.”

“Berdasarkan pengalaman saya trek Tangkak ini adalah salah satu trek yang agak mencabarlah bagi saya disebabkan trek ni agak taktikal. Trek ni mempunyai U-turn, high speed corner dan chicane corner.”

“Tahun lepas saya dapat menamatkan perlumbaan di Tangkak ni di P2 . Bagi musim ni pula berdasarkan pengalaman dan mileage saya di trek ni saya yakin saya boleh mendapatkan podium lagi.”

“Saya rasa tiada yang mencabar setakat ini cuma pada musim ini saya berlumba di kategori yang baru, saingan saya untuk musim ni semuanya hebat-hebat dan saya hanya kekurangan pengalaman dalam kategori baru ini.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook