fbpx

“AYAH, JOM MENANG SAMA-SAMA”


PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2024 menyaksikan inspirasi daripada ayah dan anak yang beraksi bersama-sama dalam misi mengejar impian yang sama.

Mereka adalah, Md Hazari Hasan (ayah) dan Md Syafiq Nazrul Abdullah (anak) yang berlumba dalam kategori PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup.

Kali terakhir berlumba sebelum mengumumkan persaraan pada 2006, Hazari yang kini berusia 48 tahun mengambil keputusan untuk menyarung sut dan kembali menjejak kaki ke dalam litar perlumbaan.

Hazari berkongsi, “Saya merupakan peminat sukan bermotor dan kelajuan. Setelah berehat beberapa tahun dan kebetulan anak memiliki kedai motor sendiri serta selalu berlatih bersama, semangat untuk berlumba kembali semula. Tambahan pula ketika pertama kali berlatih saya mendapati bahawa kemahiran menunggang mash ada dan hanya perlu digilap semula.”

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah untuk cemerlang serta-merta. Hazari menjalani latihan intensif dalam persiapan menuju ke kejuaraan ini.

“Persediaan untuk berlumba dengan anak telah bermula sejak Oktober 2023, termasuk penjagaan diet (Intermittent Fasting) dan sebelum masuk perlumbaan di Tangkak, saya berjaya mengurangkan berat badan dari 80kg ke 60+kg.”

Pusingan 2 yang berlangsung di Tangkak merupakan kali pertama Hazari dan Syafiq berdua beraksi, namun tidak berkesempatan untuk bersaing dengan satu sama lain berikutan Hazari terlepas peluang melangkah ke aksi perlumbaan akhir.

Hazari berkata, “Ini merupakan perlumbaan pertama yang disertai selepas 18 tahun, terdapat pelbagai perkara yang perlu dilihat semula seperti setup hingga ke riding. Namun ia amat menyeronokkan. Saya tidak menafikan perasaan kecewa tetapi ia tidak menjadi pematah semangat untuk terus berlumba bersama di Litar seterusnya iaitu Sepang.”

Tambah Hazari, “Harapan saya adalah untuk menang seberapa banyak perlumbaan yang boleh dan dapat bersaing berlumba dengan anak dalam seberapa banyak perlumbaan. Satu lagi harapan saya adalah memastikan semua orang diluar sana untuk sedar bahawa menyertai Malaysian Cub Prix merupakan peluang terbaik untuk melepaskan ‘geram’ dengan kelajuan.”

Manakala bagi Syafiq, ternyata keberadaan ayahnya bukan hanya di sisi, malah peluang dapat berlumba bersama menggandakan keterujaannya di kejuaraan kali ini.

Syafiq berkata, “Saya bermula berlumba sejak 2013, dan untuk berlumba dengan ayah saya, ini merupakan tahun pertama. Rasa teruja dan bangga itu memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana walaupun ayah saya sudah berumur 48 tahun namun beliau masih bersemangat untuk diet, berlatih dan bersenam. Melihat beliau sebegitu sudah tentu melonjakkan semangat saya untuk mempamer prestasi lebih baik.”

“Ayah saya adalah HERO saya. Turun motor kami anak beranak, di atas motor kami pesaing yang akan bersaing untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Saya nak menang sebanyak mana perlumbaan yang boleh bersama ayah saya. Saya nak menang juara keseluruhan tahun ini dan kalau boleh, ayah berada di sebelah saya.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook