Saingan PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup kian menghangat, dengan jurang antara lima pelumba teratas dalam kedudukan keseluruhan hanya tujuh mata membezakan ranking. Ini menyaksikan dua pusingan terakhir menjadi medan tempur untuk perebutan kejuaraan di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix.
Pelumba dari Pulau Pinang, Md Alaff Hairulnizan, yang kini menghuni kedudukan teratas, berkata, “Alhamdulillah, saya merasa amat gembira dan berterima kasih kepada pasukan serta ayah saya yang bertungkus-lumus menyediakan jentera terbaik pada setiap pusingan.”
Bagaimanapun, Alaff meluahkan rasa kurang berpuas hati dalam pengalamannya pada Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan. “Secara keseluruhan, pusingan di Litar Jempol kali ini agak kurang memuaskan. Dari hari pertama, saya dan pasukan tidak dapat mengenal pasti masalah pada motosikal saya. Walaupun bermula di petak 16 pada hari perlumbaan, saya berusaha sehabis baik untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima bagi mendapatkan mata yang secukupnya.”
Meraih 11 mata meletakkan Alaff di tangga pertama setakat ini. Namun, jurangnya dengan pencabar, Md Aqid Jumali, hanya satu mata. Jadi, Alaff tidak boleh ambil mudah jika mahu misi mengesahkan kejuaraan tercapai.
Alaff berkata, “Saya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan kedudukan sehingga akhir musim. Target saya untuk musim ini adalah untuk menamatkan perlumbaan dalam kedudukan tiga terbaik bagi meningkatkan jarak mata daripada pencabar lain.”
“Bagi saya, bandar Medini adalah satu litar yang agak sukar dan teknikal, manakala Batu Kawan adalah litar yang amat saya sukai. Semua pelumba adalah yang terbaik dan kebanyakan mereka berpengalaman. Ini memberikan saingan yang sihat dan sengit bagi saya. Saya amat berharap untuk berada di tahap dan kedudukan yang baik. Saya berdoa agar dipermudahkan, amin!”