Pusingan 10 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri pada hujung minggu ini. Siapakah di antara Md Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing Team dan Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang akan meraih kemenangan bagi kategori Wira KBS?
Walaupun Akif gagal meraih kejuaraan awal di Dataran Seri Jempol pada pusingan ke-8, beliau tetap meraih kemenangan awal dan yang lebih bermakna, di litar kampung halaman, Batu Kawan pada pusingan ke-9. Dengan penukaran takhta ke tangan Akif dari tangan Farres, mungkinkah persaingan di antara mereka berakhir sebelum acara penutup tirai? Sebagai seorang pelumba yang kompetitif, tidak mungkin Akif akan mengambil jalan yang mudah dan besar kemungkinannya, Akif akan terus memberikan saingan kepada Farres di pusingan yang akan datang.
Dengan ini, apakah strategi seterusnya bagi Farres yang tidak dapat meneruskan impian kejuaraan pada musim ini? Sudah tentu beliau akan cuba sedaya upaya untuk melengkapkan musim ini sekurang-kurangnya dengan satu lagi kemenangan di samping keputusan keseluruhan yang menempatkan beliau di tempat kedua. Sepanjang musim ini, persaingan di antara kedua-dua pelumba ini selain daripada menjadi sumber motivasi sesama sendiri juga telah menyekat peluang pelumba-pelumba lain untuk mara ke kedudukan yang lebih baik. Pada musim lepas, Farres berjaya di tangga kedua di litar Medini manakala Akif pula menamatkan perlumbaan di tangga ketiga. Siapakah di antara mereka akan mendominasi litar tersebut pada musim ini?
Menurut Akif, “Sudah semestinya saya akan sentiasa berikan yang terbaik di samping persaingan yang kompetitif, lebih-lebih untuk acara penutup tirai. Walaupun saya sudah bergelar juara Wira musim ini, perlawanan saya tidak sempurna jika tidak memberikan 100% sebelum berakhirnya musim ini. Saya amat berpuas hati dengan kejayaan musim ini di mana saya berjaya tewaskan Farres selepas gagal musim mendapat kejuaraan pada musim lepas. Kini, saya rasa bersedia untuk mara ke kategori yang lebih mencabar iaitu kategori CP125 pada musim hadapan.”
“Di Litar Medini nanti, saya rasa jentera Yamaha sudah pasti mempunyai kelebihan namun saya percaya pasukan saya akan sentiasa mendapat pelarasan yang bagus untuk jentera saya. Sudah pasti kami akan berlumba dengan kapasiti yang optima. Litar Medini adalah salah satu litar yang amat saya gemari seperti juga litar-litar teknikal yang lain. Oleh itu, saya akan berikan yang terbaik dan cuba mengatasi cabaran di situ. Pelan jangka-masa panjang saya – buat masa ini, saya akan berikan tumpuan sepenuhnya di kejuaraan MCP dan menanti pelan dari pihak Honda Malaysia bersama pengurusan langkah seterusnya.”

