Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan diadakan di Litar Permotoran Terengganu. Mampukah Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing memberikan cabaran dan saingan yang secukupnya kepada rakan sepasukannya Ahmad Afif Amran di kampung halamannya dan meraih kemenangan pertama pada musim ini di kategori CP150?
Setelah meraih pingat kejuaraan untuk dua musim berturut-turut, Akid kini dicabar oleh rakan sepasukannya Afif yang telah tampil dengan peningkatan prestasi dan pencapaian yang lebih mantap berbanding dengan tahun-tahun lepas. Di empat pusingan berturut-turut, Afif telah mendahului Akid di podium dan di carta keseluruhan. Kedua-dua pelumba sepasukan ini telah menunjukkan kemahiran dan kebolehan untuk memberikan cabaran dan saingan yang hebat kepada pelumba-pelumba dan pasukan-pasukan lain sepanjang dua musim.
Apakah rahsia pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing? Yang pastinya, pasukan tersebut telah tampil dengan penyelarasan jentera yang optima di litar kelajuan tinggi dan di litar teknikal dan dengan pelumba-pelumba berkaliber, fokus dan kompetitif, sudah pasti Afif dan Akid akan berikan yang terbaik di pusingan yang akan datang. Lebih-lebih lagi, di kampung halaman pemilik pasukan mereka. Namun begitu, persoalannya, bolehkah Akid mengulangi prestasinya pada musim lepas di litar tersebut? Pada tahun lepas, Akid meraih tempat kedua manakala Afif menamatkan perlumbaan tersebut di tempat ketiga. Akid kini menduduki tempat kedua secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 62 mata, perbezaan yang jauh sebanyak 33 mata daripada rakan sepasukannya.
Menurut Akid “Memang benar saya belum lagi meraih kemenangan pada musim ini, tetapi persaingan antara saya dan Afif sangat sengit. Afif adalah pelumba yang konsisten dan mempunyai pengalaman yang bagus. Kami saling mendorong antara satu sama lain untuk meningkatkan prestasi. Saya percaya tahap kompetitif ini akan membuatkan kami berdua lebih kuat di setiap perlumbaan. Regulasi buat masa ini membuatkan saya sukar untuk mencapai pencapaian yang lebih baik dan keadaaan jentera yang sukar untuk dikawal juga membuatkan saya lebih sukar untuk konsisten di setiap pusingan. Banyak perubahan yang perlu dilakukan ke atas jentera untuk lebih selesa dan kekal consistent.”
“Litar Terengganu terkenal dengan selekoh yang teknikal dan selekoh kelajuan tinggi. Cabarannya adalah untuk mencari setup motosikal yang tepat supaya saya dapat mengawal motosikal dengan baik tanpa hilang kelajuan. Saya juga perlu fokus kepada strategi “braking” dan “acceleration” di setiap selekoh. Pada musim ini, jentera sangat berbeza dari tahun lepas kerana ditambah berat dan ia sukar untuk dapatkan pelarasan dan pengendalian yang baik. Kami juga menyesuaikan beberapa komponen untuk lebih sesuai dengan gaya tunggangan saya. Walaupun begitu, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan saya bersama pasukan akan terus bekerja keras. Tahap persaingan pada kategori CP150 sangat tinggi dengan beberapa pelumba yang telah sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Setiap perlumbaan sangat kompetitif dan tidak ada yang mudah. Ini membuatkan saya sentiasa bersedia serta meningkatkan kemahiran dan strategi bagi kekal di hadapan.”
“Matlamat utama saya adalah untuk mencapai podium dan meraih kemenangan pertama saya musim ini. Saya juga mahu menunjukkan peningkatan dari perlumbaan ke perlumbaan dan menjadi lebih konsisten. Selain itu, saya mahu membuktikan bahawa saya masih mampu bersaing dan memberikan yang terbaik untuk pasukan dan penyokong.”

