AKID GEMAR LITAR TEKNIKAL

Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu pada hujung minggu ini. Md Akid Shah dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing akan mempertingkatkan lagi usaha dalam kategori Wira KBS.

Perlumbaan di litar Teluk Intan merupakan suatu pusingan yang sudah pasti tidak dapat dilupakan oleh Akid Shah yang telah meraih bukan sahaja kemenangan pertama bagi musim 2025 tetapi juga kemenangan pertama sejak berlumba di kategori ini. Di litar tersebut, beliau telah tampil dengan daya saingan yang mantap sepanjang perlumbaan dalam usaha menumpaskan pesaing terdekatnya, Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing dan berjaya di lap terakhir. Pada ketika itu, Akif yang mendahului kumpulan pelumba tersebut membuat kesilapan kecil sekaligus memberikan Akid Shah peluang untuk merampas kedudukan P1 sebelum meraih kemenangannya.

Akid Shah mula berlumba di kategori Wira KBS pada musim lepas setelah mencapai kedudukan keempat secara keseluruhan di kategori Yamaha PETRONAS Super Series pada tahun 2023. Walaupun beliau tidak pernah menaiki podium tempat pertama pada musim lepas, Akid Shah menamatkan musim tersebut di tempat keenam secara keseluruhan dengan tiga podium tempat kedua dan ketiga. Dengan kejayaannya yang terkini, Akid Shah berjaya melonjak ke kedudukan ketiga dari kedudukan kelapan secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 50 mata, hanya 4 mata beza daripada pesaing terdekatnya, Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing.

Akid berkata, “Kemenangan pertama saya ini telah memberikan saya semangat untuk meneruskan pencarian seterusnya. Kategori Wira KBS ini tidak semudah yang disangkakan dan setelah lama gagal mendapat keputusan yang memuaskan, kemenangan ini memberikan saya motivasi yang berbeza. Pasukan saya telah bertungkus-lumus dalam penyediaan jentera yang bagus dan di Teluk Intan hari itu, kami telah mendapat pelarasan yang bagus di mana saya dapat optimakan penggunaan jentera untuk mencapai kelajuaan yang baik. Ini telah memberikan saya kelebihan untuk bersaing dengan lebih kompetitif dengan pesaing terdekat saya iaitu Akif.”

“Di pusingan yang akan datang nanti, litarnya agak teknikal. Oleh itu, cabarannya pasti ada terutamanya dari segi pengendalian jentera dan juga dari segi persaingan daripada pelumba-pelumba lain. Saya suka cabaran begitu kerana ia memberikan saya peluang untuk terus belajar dan mengembangkan tahap kemahiran saya. Buat masa kini, saya memberikan fokus kepada pembinaan kecergasan dan kekuatan mental. Saya menjalani latihan bersama-sama rakan sepasukan saya setiap hari. Perlumbaan yang akan datang ini akan menentukan prestasi saya, samada saya masih boleh merapatkan jurang mata keseluruhan. Oleh itu, saya perlu lebihkan usaha dan mencapai pencapaian yang lebih cemerlang.”