Selepas menampilkan prestasi konsisten dengan meraih tempat ketiga pada Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, pelumba CP150 PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Md Akid Aziz kini bersedia untuk kembali menghangatkan saingan Psingan 2 di lokasi yang istimewa baginya, iaitu Litar Lumba Tangkak, Johor. Litar ini menyimpan memori manis buat juara keseluruhan musim lalu itu apabila beliau mendominasi dua perlumbaan yang berlangsung di sini, masing-masing pada Pusingan 2 dan Pusingan 7 musim 2024. Kini apabila Litar Lumba Tangkak kembali menjadi tuan rumah bagi Pusingan 2 musim ini hujung minggu ini, tumpuan pastinya terarah kepada pelumba yang kini sedang memburu kemenangan sulungnya untuk musim 2025.
Mengulas mengenai kejayaan berganda musim lalu, Akid mengakui kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang dijangka walaupun mereka hadir dengan persiapan rapi. “Kami memang sedia dengan persiapan rapi, tapi untuk mendominasi kedua-dua pusingan seperti itu bukannya mudah. Kami tahu kemampuan pasukan, tapi dalam sukan, banyak faktor yang boleh mempengaruhi keputusan. Jadi bila semuanya menjadi seperti yang dirancang, ia adalah satu penghargaan atas kerja keras semua orang dalam pasukan. Ia tetap satu kejutan yang menggembirakan,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai momen paling diingati, Akid segera menyebut kejayaan bangkit dari barisan belakang pada Pusingan 2 sebagai detik paling bermakna. “Sewaktu sesi SuperPole saya dikenakan ‘Track Limit’ dan terpaksa bermula dari petak ke-10. Ia memang mencabar bermula dari barisan belakang, tapi Alhamdulillah saya berjaya tamatkan perlumbaan di tempat pertama. Itu momen yang sangat saya ingat sampai sekarang,” katanya.
Tekanan untuk mengulangi pencapaian cemerlang itu sudah tentu wujud, namun Akid menjadikan pengalaman itu sebagai motivasi untuk terus mara ke hadapan. “Sudah tentu ada sedikit tekanan kerana pencapaian tahun lalu menjadi penanda aras untuk saya. Namun, saya melihatnya sebagai motivasi, bukan beban. Setiap musim ada cabarannya yang tersendiri, dan saya bersedia untuk beri yang terbaik bagi memastikan saya mampu cipta kejayaan sekali lagi,” ujarnya. Litar Lumba Tangkak juga memberi kelebihan tersendiri kepada Akid berdasarkan keserasiannya sejak awal lagi. “Litar Tangkak mempunyai keistimewaan tersendiri dengan reka bentuknya yang mencabar dan pelbagai jenis selekoh teknikal. Gabungan selekoh tajam dan kawasan lurus menjadikan litar ini seimbang dan menarik. Sejak awal pembukaan litar ini, saya dapat serasi dengan cepat dan baik. Ia memang sesuai dengan cara tunggangan saya,” jelasnya lagi.
Akid yang dikenali dengan perwatakan tenang sebelum perlumbaan turut berkongsi apa yang sebenarnya bermain di fikiran pada ketika itu. “Sebelum perlumbaan, saya mungkin kelihatan tenang di luar, tapi dalam fikiran, saya memikirkan strategi, bagaimana nak hadapi perlumbaan dengan fokus, dan pastikan segala persiapan telah dilakukan dengan sempurna. Ada juga rasa teruja dan adrenalin, tapi saya cuba tenangkan diri supaya emosi tak ganggu fokus. Itu penting untuk saya laksanakan apa yang kami latih dengan sebaiknya.”

