AFIF CATAT KEMENANGAN KETIGA

Perlumbaan CP150 di Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyajikan drama dan kejutan apabila Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING merangkul kemenangan ketiga di Stadium Mini Teluk Intan, Perak.

Dalam sesi Super Pole pagi tadi, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencatat masa terpantas 48.485s untuk memastikan tempat di petak utama. Beliau diikuti Afif dengan catatan masa 48.631s, sementara rakan sepasukan Kasma, Danial Syahmi Ahmad Shahril melengkapkan barisan hadapan di petak ketiga dengan 48.700s.

Sebaik perlumbaan bermula, Danial melulu ke hadapan, dia diekori oleh Afif, Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING dan Kasma.

Afif mula menunjukkan taring seawal pusingan ke-2 apabila mencatat masa terpantas 51.234s dan berjaya memintas Danial untuk mendahului perlumbaan. Akid yang turut bersaing rapat berjaya mengekori Afif, dan kedua-dua pelumba CKJ RACING mula mewujudkan jurang masa yang selesa daripada kumpulan kedua. Kasma yang berada di posisi ketiga terus cuba untuk mengejar.

Pada pusingan ke-6, Kasma mengalami kemalangan dan gagal meneruskan saingan podium. Saingan untuk tempat ketiga menjadi semakin sengit apabila empat pelumba mula bersaing rapat: Nazirul Izzat Md Bahauddin dan Danial, berdua dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM, serta Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS.

Sementara itu, Afif dan Akid semakin mengukuhkan kedudukan dengan kelebihan masa hampir 10 saat daripada kumpulan kedua. Nazirul akhirnya berjaya melepaskan diri daripada perebutan sengit dan mempertahankan tempat ketiga.

Kedudukan tiga pelumba teratas kekal sehingga ke garisan penamat, dengan Afif melakar kemenangan ketiganya musim ini selepas mencatat masa keseluruhan 16’12.992s. Rakan sepasukannya, Akid, menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 16’14.009s, manakala Nazirul menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 16’31.402s.

Afif berkongsi, “Untuk minggu ini, saya tidak mensasarkan siapa-siapa secara khusus kecuali Kasma dan Azroy. Kalau rakan sepasukan saya laju, saya tetap bersyukur kerana kami boleh bekerjasama untuk ke depan. Sebenarnya saya jangkakan Kasma akan lebih laju hari ini kerana dari sesi Super Pole lagi dia sudah menunjukkan rentak yang pantas. Dalam perlumbaan tadi, kami membuat keputusan besar dengan mengubah tetapan suspensi dan sproket bersama rakan sepasukan. Alhamdulillah, strategi kami menjadi dan saya berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE

  1. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (16’12.992s)
  2. Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (16’14.009s)
  3. Nazirul Izzat Md Bahauddin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (16’31.402s)
  4. Danial Syahmi Ahmad Shahril – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (16’31.581s)
  5. Md Faiz Zekri Sabri – ATAS AHM MOTOR SPORTS (16’31.926s)