HELMI TAKLUK PENUTUP TIRAI, AZROY JUARA KESELURUHAN

Pusingan 8 yang melabuhkan tirai Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor menyajikan penamat penuh bergaya bagi kategori CP150 apabila pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Helmi Azman, menawan perlumbaan akhir. Sementara itu, kedudukan naib juara sudah memadai buat pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, untuk mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan CP150 musim 2026.

Memulakan saingan dari petak utama hasil catatan terpantas 44.954s pada sesi Super Pole, Azroy bagaimanapun tercicir ke kedudukan kelima selepas dipintas sebaik sahaja perlumbaan dilepaskan. Md Farish Hafiy Farid Sezli dari IDEMITSU HONDA YAM RACING pantas merampas kedudukan pendahulu, diekori rapat Helmi di tempat kedua, Md Irfan Haykhal Amidi dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING ketiga, dan Md Haziq Md Fairues dari IDEMITSU HONDA YAM RACING keempat.

Berbekalkan ketenangan, Helmi mula mengasak sebelum berjaya memintas Hafiy pada pusingan kelima untuk menerajui saingan. Di belakang, Azroy enggan menyerah kalah apabila mencetak masa terpantas 50.197s pada pusingan ketiga sebelum bangkit memintas Irfan pada pusingan ketujuh dan seterusnya merampas kedudukan kedua daripada Hafiy pada pusingan ke-10.

Menjelang pusingan ke-12, Azroy berjaya merapatkan jurang sehingga 0.290s di belakang Helmi, dengan kedua-duanya meninggalkan kelompok pengejar yang diketuai Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR sejauh 3.388s menjelang pusingan ke-19 selepas Kasma memintas Hafiy pada pusingan ke-17. Memilih untuk bermain selamat di pusingan terakhir, Azroy akur di tempat kedua pada masa 15’36.511s di belakang Helmi yang melintasi garisan penamat selaku juara pada 15’35.614s. Kasma melengkapkan podium di tempat ketiga pada 15’39.191s, diikuti Hafiy dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dari HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING di tempat keempat dan kelima.

Helmi berkata, “Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pasukan yang tidak pernah mengenal erti penat bekerja keras sepanjang musim ini, serta semua penaja, keluarga dan rakan-rakan.”

“Dalam perlumbaan tadi, saya memilih untuk kekal tenang di kedudukan kedua sambil sabar mengintai ruang tepat untuk memintas Hafiy.”

“Berjaya merangkul kemenangan pada pusingan terakhir ini benar-benar menjadi penutup yang cukup manis dan suntikan semangat menjelang musim hadapan.”

Kutipan 117 mata sepanjang musim menyaksikan Azroy menjulang takhta Juara Keseluruhan CP150, mengatasi Kasma di tempat kedua dengan 111 mata dan Haziq yang mengumpul 103.5 mata di tempat ketiga.

Azroy berkongsi, “Syukur Alhamdulillah, tiada kata yang mampu menggambarkan betapa bahagianya saya saat ini. Segala penat lelah akhirnya terbalas, bukan hasil usaha saya seorang, tetapi seluruh pasukan yang sanggup mengorbankan begitu banyak masa dan tenaga demi mencari pelarasan jentera yang terbaik buat saya.”

“Dalam perlumbaan tadi, saya mengakui telah melakukan permulaan yang kurang baik sehingga menyebabkan saya tercicir ke kedudukan kelima. Namun, apabila melihat kelompok hadapan tidak terlalu jauh, saya enggan panik dan terus bangkit mengambil peluang untuk memintas satu demi satu. Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya apabila pelumba di hadapan melakukan kesilapan, dan saya berjaya memanfaatkannya sebaik mungkin.”

“Memasuki pusingan terakhir, saya memilih untuk bermain selamat dan enggan mengambil risiko memintas Helmi yang berada di tempat pertama. Syukur Alhamdulillah, percaturan itu membuahkan hasil apabila kami akhirnya berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan! Kini, dengan hati yang lega dan penuh bersemangat, saya sudah bersedia untuk mengalihkan sepenuh tumpuan ke saingan Kejuaraan Asia pula.”


TOP 5 FASTEST – RACE
1. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (15’35.614s)
2. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (15’36.511s)
3. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (15’39.191s)
4. MD FARISH HAFIY FARID SEZLI – IDEMITSU HONDA YAM RACING (15’39.375s)
5. SHAHROL SYAZRAS SHAHROL YUZY – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (15’42.372s)

TOP 5 – OVERALL RIDER STANDINGS
1. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (117 points)

2. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (111 points)

3. MD HAZIQ MD FAIRUES – IDEMITSU HONDA YAM RACING (103.5 points)
4. MD IRFAN HAYHAL AMIDI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (82 points)
5. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (80.5 points)

TOP 5 – OVERALL TEAM STANDINGS


  1. PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (180.5 points)
    2. HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (173.5 points)
    3. IDEMITSU HONDA YAM RACING (170.5 points)
    4. TAB SPORTS SCK HONDA RACING (164.5 points)
    5. VOGE RACING TEAM (109.5 points)