PENAMAT MANIS BUAT ADY

Pusingan 8 yang juga pusingan penutup tirai Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor menyaksikan dominasi mutlak Nuzzul Ady Muhammad Sudin apabila mengesahkan kemenangan bergaya dalam saingan kategori WIRA. Meskipun telah mengesahkan gelaran Juara Keseluruhan lebih awal pada Pusingan 6, pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING itu tetap mempamerkan tunggangan bertenaga untuk menamatkan musim dengan penuh kemanisan.

Memulakan perlumbaan dari petak utama selepas mencatat masa terpantas 46.871s pada sesi Kelayakan, Ady tidak menunggu lama untuk meluru ke hadapan sebaik sahaja perlumbaan dilepaskan. Beliau diekori rapat oleh Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING di tempat kedua, manakala Sheikh Mohd Isyraf dari ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM, Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari IGOL BROTHERS 7 TECH RACING dan Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM melengkapkan kelompok lima teratas.

Penguasaan Ady semakin sukar digugat apabila beliau mencatat masa pusingan pantas 46.718s pada pusingan ketiga untuk mengekalkan kelebihan di hadapan. Di belakang, saingan merebut podium menyaksikan Fairil berjaya memintas Isyraf pada pusingan kelima sebelum memacu jentera dengan lebih agresif menerusi catatan masa terpantas perlumbaan 46.668s pada pusingan ketujuh.

Menjelang pusingan ke-11, Ady kekal tenang mengawal rentak dengan kelebihan selesa 1.654s di hadapan Al-Syafiq.Beliau akhirnya melintasi garisan penamat selaku juara pada masa 9’28.129s, diikuti Al-Syafiq di tempat kedua dengan masa 9’29.356s dan Fairil di tempat ketiga pada 9’29.627s. Isyraf dan Akid masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat dan kelima.

Ady berkongsi, “Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana mempercayai bakat saya dan memberikan peluang keemasan untuk terus berlumba pada musim ini. Penghargaan khas juga buat Bos Siva yang tidak pernah jemu meniupkan kata-kata semangat, bukan sahaja untuk perlumbaan hari ini, malah sepanjang perjalanan karier saya sebelum ini.”

“Kemenangan ini juga saya dedikasikan buat keluarga tercinta, terutamanya mak dan ayah yang sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk hadir memberikan sokongan moral dari tepi litar. Kehadiran mereka, serta sokongan padu daripada rakan-rakan semua, benar-benar menjadi pembakar semangat buat saya.”

“Mengenai perlumbaan tadi, fokus utama saya adalah untuk kekal tenang dan konsisten di kelompok hadapan. Saya cuba memerah kudrat dan memecut sebaik mungkin di setiap selekoh demi menjarakkan jurang dengan pelumba lain. Tekanannya memang terasa, namun Alhamdulillah, segala perancangan dan strategi yang diatur akhirnya membuahkan hasil yang cukup manis.”

Secara keseluruhan bagi musim 2026, Ady menamatkan kempen di takhta teratas dengan kutipan 175 mata, jauh meninggalkan Al-Syafiq di tempat kedua keseluruhan dengan 93 mata, manakala Akid melengkapkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan dengan 88 mata.



TOP 5 – OVERALL RIDER STANDINGS
1. NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (175 points)

2. MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (93 points)

3. MD AKID MD SHAH KHEARUL NISIAM – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (88 points)
4. MD FAIRIL HAZMI FARID SEZLI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (81 points)
5. MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (80 points)