aZROY LAUNG AMARAN AWAL DI MEDINI

Saingan Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Bandar Medini Iskandar, Johor hari ini menyaksikan pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar mempamerkan tunggangan berbisa untuk mengungguli takhta Kelayakan keseluruhan kategori CP150.

Beraksi dalam saingan Kumpulan A, Azroy tampil agresif memerah kelajuan maksimum jenteranya untuk merakamkan masa terpantas 44.767s dengan kelajuan purata 92.640kph. Catatan tersebut meletakkan beliau di kedudukan teratas, mengatasi pencabar terdekat dari pasukan TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Helmi Azman, yang akur di tempat kedua dengan masa 44.800s. Rakan sepasukan Helmi, Md Irfan Hayhal Amidi, turut mempamerkan asakan sengit untuk menyambar kedudukan ketiga keseluruhan menerusi rekod 44.815s.

Sementara itu, saingan Kumpulan B pula dikuasai oleh pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Ahmad Afif Amran, yang mencatat masa 44.965s untuk menghuni tangga keempat keseluruhan. Melengkapkan kelompok lima terpantas ialah Md Farish Hafiy Farid Sezli dari IDEMITSU HONDA YAM RACING dengan catatan 45.013s. Terdahulu, rentak saingan hari ini cukup sengit apabila Helmi menguasai Latihan Bebas 1 Kumpulan A dengan 45.417s sebelum Azroy bangkit mendahului Latihan Bebas 2 apabila mencatat 48.960s, manakala Nazirul Izzat Md Bahauddin pada 45.654s dan Md Idil Fitri Mahadi dengan 47.652s, masing-masing mengungguli sesi latihan Kumpulan B.

Azroy berkata, “Setakat ini, Alhamdulillah jentera berfungsi dengan baik. Cuma, terdapat sedikit kekangan pada had RPM yang menyukarkan tunggangan saya tadi. Namun, Alhamdulillah saya masih mencatat masa terpantas dan kami akan cuba mencari pelarasan terbaik untuk esok.”

“Jika diikutkan, had RPM saya ketika di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada Pusingan 7 tidak begitu terasa kerana litarnya besar. Tetapi di sini, kesannya amat ketara. Setiap pecahan saat amat penting, meskipun hanya perbezaan 200 RPM, saya rasa saya masih boleh memperbaiki catatan masa sekitar 0.2 saat lagi. Tidak mengapa, kami akan berbincang dengan pasukan mengenai strategi untuk esok.”

“Peluang untuk bergelar juara masih terbuka buat tiga pelumba. Siapa yang berada di hadapan, dialah juaranya. Jadi, fokus saya sekarang adalah untuk mendapatkan tetapan yang mantap bagi perlumbaan esok!”



TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
1. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (44.767s)
2. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (44.800s)
3. MD IRFAN HAYHAL AMIDI – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (44.815s)
4. AHMAD AFIF AMRAN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (44.965s)
5. MD FARISH HAFIY FARID SEZLI – IDEMITSU HONDA YAM RACING (45.013s)