Saingan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan) hari ini menyaksikan pelumba HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, mempamerkan tunggangan berbisa untuk mengungguli takhta Kelayakan keseluruhan CP150.
Memanfaatkan sepenuhnya keadaan litar yang kering dan cuaca optimum sewaktu sesi Kelayakan 1, Syazras tampil agresif memerah kelajuan maksimum jenteranya untuk merakamkan masa terpantas 1’18.477s. Catatan tersebut meletakkan dirinya di kedudukan teratas, meninggalkan pelumba TAB SPORTS SCK HONDA RACING, Md Helmi Azman, berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa 1’18.656s. Kedudukan ketiga pula disambar oleh Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR menerusi rekod 1’18.722s.
Turut mempamerkan asakan sengit dan melengkapkan kelompok lima terpantas keseluruhan dari sesi tersebut ialah Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR di kedudukan keempat dengan masa 1’18.869s, diekori rapat oleh Md Amirul Ariff Musa dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING di tempat kelima pada 1’18.901s.
Suasana persaingan bertukar menjelang sesi Kelayakan 2 apabila hujan mula membasahi permukaan trek. Keadaan litar basah ini menguji kemahiran dan kawalan teknikal jentera setiap pelumba. Sesi tersebut dikuasai oleh Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING dengan masa 1’23.602s, diekori Md Muzakkir Mohamed dari VOGE RACING TEAM dan Md Irfan Haykhal Amidi dari TAB SPORTS SCK HONDA RACING. Walau bagaimanapun, disebabkan kelewatan masa yang dicatatkan di litar basah, tiada pelumba yang berjaya memecahkan rekod masa pantas dari Kelayakan 1, lantas mengekalkan Syazras di takhta keseluruhan.
Syazras berkata, “Syukur Alhamdulillah atas keputusan yang baik ini. Ia adalah hasil titik peluh semua ahli pasukan yang sentiasa memberikan dorongan dan bekerja keras menyediakan jentera yang terbaik untuk saya. Saya amat berterima kasih kepada mereka. Berkat usaha pasukan dan pengalaman saya meraih dua podium pada Kejuaraan Asia di litar ini, ia menjadi pembakar semangat untuk saya mengekalkan momentum.”
“Saya berharap pencapaian cemerlang ini dapat diteruskan sehingga ke penghujung musim. Untuk perlumbaan esok, persaingan pasti sengit dan melibatkan kelompok yang besar. Walaupun saya tidak meletakkan tekanan yang terlalu tinggi, saya pasti akan berjuang sehabis baik untuk kekal di kelompok hadapan atau merebut kedudukan podium.”
“Fokus kami sekarang adalah sebagai satu pasukan; iaitu memburu kejuaraan keseluruhan pelumba untuk rakan sepasukan, Azroy Hakeem Anuar, serta gelaran berpasukan. Kami sudah mengatur strategi rahsia, jadi saksikanlah perlumbaan esok.”
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
1. SHAHROL SYAZRAS SHAHROL YUZY – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (1’18.477s) QUALIFYING 1
2. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (1’18’656s) QUALIFYING 1
3. NAZIRUL IZZAT MD BAHAUDDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’18.722s) QUALIFYING 1
4. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’18.869s) QUALIFYING 1
5. MD AMIRUL ARIFF MUSA – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (1’18.901s

