Saingan Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di LYL International Karting Circuit pada hari ini menyaksikan jagoan pasukan HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, Azroy Hakeem Anuar, mempamerkan aksi memukau untuk mengungguli takhta Kelayakan keseluruhan bagi kelas CP150.
Dalam saingan litar teknikal ini, Azroy mencetus sensasi apabila muncul sebagai satu-satunya pelumba yang berjaya memecahkan halangan masa 1 minit 11 saat. Beliau merakamkan catatan pantas 1’10.971s sewaktu sesi Kelayakan 1 bagi Kumpulan A. Rekod cemerlang tersebut meletakkan dirinya gah di kedudukan teratas, meninggalkan para pencabar lain yang bergelut mencari kelajuan maksimum.
Rentak dominan Azroy cuba digugat oleh seteru utamanya, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Dengan rekod masa 1’11.395s, Kasma sekadar berpuas hati di kedudukan kedua terpantas keseluruhan. Kedua-dua pencabar utama ini melakar catatan terbaik mereka seawal sesi Kelayakan 1, memanfaatkan sepenuhnya keadaan litar sebelum persaingan menjadi semakin sengit.
Lebih manis buat kem HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING, pusingan kali ini jelas menonjolkan penguasaan jentera mereka apabila tiga pelumba berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik. Rakan sepasukan Azroy, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy dan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir masing-masing merekodkan catatan 1’12.139s dan 1’12.171s sewaktu bertarung dalam sesi Kelayakan 2 (Kumpulan B) untuk menduduki tempat keempat dan kelima.
Sementara itu, pelumba Kumpulan B dari IDEMITSU HONDA YAM RACING, Md Farish Hafiy Farid Sezli, mempamerkan momentum cemerlang. Selepas menguasai Kelayakan 1 kumpulannya dengan 1’12.292s, Farish terus memperkemaskan rentak untuk memangkas masa kepada 1’11.917s pada Kelayakan 2. Pencapaian ini mengesahkan kedudukannya di tempat ketiga terpantas carta gabungan kelayakan keseluruhan.
Azroy berkongsi, “Secara keseluruhan, dari sesi latihan, Kelayakan 1 dan Kelayakan 2 tadi, trek dalam keadaan yang berbeza-beza. Bagi saya tidak jauh pelarasan motosikal siang dan malam, cuma bila waktu malam kita perlu ada keyakinan yang lebih dan kepercayaan kepada tayar. Jadi bila saya bawa motosikal tadi, alhamdulillah semua hasilnya positif. Untuk esok kita ada sesi pemanasan badan, Super Pole, dan seterusnya perlumbaan akhir. Pelarasan sesi tadi adalah persiapan kita untuk perlumbaan esok.”
“Walaupun muncul satu-satunya pelumba yang mencatat 1:10s, tetapi ia tidak begitu bermakna bagi saya. Walaupun sememangnya pantas, sesi Kelayakan 1 tadi adalah pada waktu petang. Sesi Kelayakan 2 pada malam ini yang paling penting, dan saya rasa keserasian dengan motosikal adalah positif. Setakat ini tiada yang perlukan perubahan terlalu banyak, mungkin hanya sedikit. Apa-apa pun, kita sudah bersedia untuk menghadapi perlumbaan malam esok.”
TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING
1. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (1’10.971s)
2. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (1’11.395s)
3. MD FARISH HAFIY FARID SEZLI – IDEMITSU HONDA YAM RACING (1’11.917s)
4. SHAHROL SYAZRAS SHAHROL YUZY – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (1’12.139s)
5. AHMAD DARWISY AHMAD SAHIR – HONDA CASTROL POWER1 YUZY RACING (1’12.171s)

