Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu menyaksikan drama pada penghujung perlumbaan membuka laluan luas buat pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Nuzzul Ady Muhammad Sudin, untuk dinobatkan sebagai juara perlumbaan akhir kategori WIRA hari ini. Kemenangan ini turut menjadi kemenangan kedua berturut-turut buat Ady selepas beliau turut cemerlang menawan pusingan keempat yang lalu.
Sebaik sahaja perlumbaan bermula, pelumba IGOL BROTHERS 7 TECH RACING, Md Fairil Hazmi Farid Sezli yang bermula di petak kedua meluru pantas untuk merampas kedudukan pendahulu daripada pemegang petak utama merangkap rakan sepasukannya, Md Al-Syafiq M Al Amirul Zaki. Kem IGOL BROTHERS dilihat selesa mendominasi pusingan-pusingan awal, namun diekori rapat bagai bayang-bayang oleh dua pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Raja Abdurraqib Raja Norfatihah dan Ady. Kesungguhan Ady mula terserlah apabila beliau pantas mencetak masa 52.171s pada pusingan kedua untuk memastikan dirinya terus melekat di kelompok hadapan.
Kehangatan meletus apabila perlumbaan berbaki enam pusingan terakhir. Pada pusingan keenam, Abdurraqib dan Ady mula mempamerkan taring agresif mereka dengan memintas Al-Syafiq. Momentum luar biasa itu diteruskan apabila kedua-duanya berjaya menyingkirkan Fairil dari takhta pendahulu pada pusingan ketujuh. Pada pusingan kelapan dan kesembilan menyaksikan tampuk pimpinan bertukar tangan secara bertali arus antara Ady, Abdurraqib, dan Fairil dalam pertarungan tiga penjuru yang cukup sengit.
Tragedi yang mengubah keseluruhan skrip perlumbaan meletus pada pusingan ke-11. Ketika Ady sedang tenang memimpin di hadapan, Abdurraqib cuba melakukan asakan berani untuk memintas Fairil demi merebut kedudukan kedua. Malang tidak berbau apabila berlaku perselisihan dan sentuhan, menyebabkan kedua-dua pelumba itu terjatuh dan terus tersingkir dari persaingan podium.
Insiden tersebut membolehkan Ady memecut tanpa halangan sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10’37.619s. Al-Syafiq yang bijak mengelak kemelut itu merangkul tempat kedua dengan perbezaan masa yang amat tipis iaitu 0.042s pada 10’37.661s. Nasib turut menyebelahi Md Akid Mohd Shah Khearul Nisiam dari HONDA RS MEGATECH RACING TEAM yang memanfaatkan insiden tersebut untuk melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga pada masa 10’40.755s.
Ady berkata, “Perlumbaan hari ini menuntut tahap kesabaran yang sangat tinggi. Sejak awal perlumbaan, perancangan saya adalah untuk mengekalkan momentum dan tidak terlalu terburu-buru. Saya memilih untuk berada di belakang, sekadar mengekori rapat untuk membaca corak tunggangan lawan serta menjaga keadaan tayar.”
“Apabila perlumbaan memasuki enam pusingan terakhir, saya tahu sudah tiba masanya untuk bertindak. Saya tingkatkan tumpuan dan perlahan-lahan merapatkan jurang. Ketika pelumba-pelumba di hadapan leka bertarung dan saling berbalas serangan, mereka mula membuka ruang. Saya segera memanfaatkan peluang keemasan itu untuk menyelit, memintas mereka, dan terus memecut ke hadapan. Alhamdulillah strategi itu menjadi dan saya amat gembira dapat mempertahankan kemenangan saya dari Pusingan 4.”
TOP 5 FASTEST – RACE
- NUZZUL ADY MUHAMMAD SUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (10’37.619s)
- MD AL-SYAFIQ M AL AMIRUL ZAKI – IGOL BROTHERS 7 TECH RACING (10’37.661s)
- MD AKID MOHD SHAH KHEARUL NISIAM – HONDA RS MEGATECH RACING TEAM (10’40.755s)
- ADAM DANIAL ABDUL FATTAH – ESTREMO PITSBIKE YAMAHA FVZR TEAM (10’41.104s)
- MD DARWISH AMSYAR M RIDZWAN – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’46.019s)

