DARWISY LEBUR HALANGAN 49 SAAT

Pembukaan Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Litar Permotoran Terengganu pada hari ini menyaksikan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING mencetus sensasi apabila mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk mengungguli sesi Kelayakan keseluruhan kategori CP150.

Darwisy muncul satu-satunya pelumba yang berjaya memecahkan halangan masa 49 saat di litar teknikal ini. Beliau merakamkan catatan menakjubkan 49.821s pada sesi Kelayakan 2 (Kumpulan B), sekali gus meletakkan dirinya gah di takhta teratas gabungan masa kelayakan.

Lebih manis, kejayaan ini melengkapkan penguasaan kem HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING apabila rakan sepasukannya, Azroy Hakeem Anuar, cemerlang menyambar kedudukan kedua terpantas keseluruhan menerusi masa 50.047s. Sementara itu, Md Helmi Azman dari pasukan TAB SPORTS SCK HONDA RACING memberikan tentangan hebat untuk berada di tempat ketiga dengan jurang masa yang sangat tipis pada 50.054s.

Terdahulu, saingan awal tampak didominasi oleh kem Yamaha, terutamanya menerusi Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR yang selesa mencatat masa terpantas pada sesi Latihan Bebas Kumpulan B dengan 50.438s dan Kelayakan 1 pada 50.324s. Darwisy pada awalnya dilihat agak bergelut pada sesi Kelayakan 1 apabila sekadar menduduki tempat kelima. Namun, percaturan berani pasukannya yang menukar pelarasan dan strategi tayar pada saat akhir di sesi Kelayakan 2 nyata membuahkan hasil yang positif.

Darwisy berkata, “Sejujurnya, pencarian catatan masa yang kompetitif pada hari ini sangat mencabar. Faktor cuaca yang terik dan suhu litar yang mendadak naik benar-benar menguji pengurusan tayar kami. Apabila trek terlalu panas, cengkaman tayar hilang dengan cepat, membuatkan jentera sukar dikawal jika diasak pada had maksimum. Pada sesi Kelayakan 1 tadi, saya menggunakan tayar terpakai, jadi saya terpaksa menunggang dengan lebih berhati-hati. Selepas itu, pasukan segera menukar strategi dengan memasang tayar baharu untuk sesi Kelayakan 2. Pelarasan ini memberi saya keyakinan untuk kembali menyerang, dan hasilnya, saya berjaya memperbaiki catatan masa dengan ketara.”

“Jika dinilai prestasi sepanjang tahun ini, memang terdapat banyak lonjakan positif dari segi tunggangan dan pelarasan jentera. Namun, kita akui ketika hari perlumbaan sebenar, nasib dan rezeki masih belum memihak kepada kami sepenuhnya. Untuk pusingan kali ini, Insya-Allah, berbekalkan pengalaman lalu dan sekiranya jentera bebas daripada masalah, saya bertekad untuk mempamerkan aksi cemerlang buat pasukan di sini.”



TOP 5 FASTEST – COMBINED QUALIFYING (CP150)

  1. AHMAD DARWISY AHMAD SAHIR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (49.821s)
  2. AZROY HAKEEM ANUAR – HONDA CASTROL POWER 1 YUZY RACING (50.047s)
  3. MD HELMI AZMAN – TAB SPORTS SCK HONDA RACING (50.054s)
  4. KASMA DANIEL KASMAYUDIN – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (50.145s)
  5. MD IZAM IKMAL IZAMLI – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (50.276s)