HAZIQ: PODIUM MENANTI LAGI?

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 semakin hangat, tumpuan mula terarah kepada Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) yang pernah menjadi saksi kejayaan manis Md Haziq Md Hamdan apabila beliau menamatkan perlumbaan di tempat kedua musim 2025. Kini, pelumba J DOUBLE EIGHT RACING itu kembali dengan semangat baru, lebih matang dan bersedia untuk kembali mencabar kelompok hadapan.

Kenangan podium tersebut kekal menjadi sumber motivasi utama buat Haziq, yang menganggap ia bukti jelas kemampuan dirinya di litar berkenaan.

“Keputusan tempat kedua musim lalu di Sepang Utara memberi keyakinan besar kepada saya. Ia bukan sekadar podium, tetapi bukti bahawa saya mampu bersaing di litar ini. Untuk musim ini, saya mahu kembali lebih kuat, lebih konsisten dan cuba memperbaiki pencapaian itu walaupun kali ini bersama pasukan persendirian,” katanya.

Walaupun tekanan untuk mengulangi pencapaian itu wujud, Haziq melihatnya sebagai dorongan positif bersama sokongan pasukan dan penaja Mocha Knight Malaysia.

“Tekanan itu normal dalam perlumbaan, tetapi saya pilih untuk jadikannya motivasi. Dengan sokongan J DOUBLE EIGHT RACING dan Mocha Knight Malaysia, kami fokus kepada strategi dan kerja berpasukan untuk mendapatkan hasil terbaik,” jelasnya.

Dari aspek teknikal, jentera CP125 masih dalam fasa pembangunan selepas Pusingan 1, dengan pelbagai penambahbaikan dilakukan berdasarkan data yang dikumpul oleh krew teknikal.

“Litar Sepang Utara sangat sesuai dengan gaya tunggangan saya kerana ia memerlukan brek lewat dan kelajuan selekoh yang stabil. Saya rasa gaya tunggangan saya yang lebih ‘smooth’ memberi kelebihan di sini,” katanya.

Namun, cabaran musim ini lebih sengit dengan jurang masa yang semakin rapat dalam kategori CP125, selain faktor cuaca tidak menentu serta kehausan tayar yang boleh mengubah keputusan perlumbaan pada bila-bila masa.

“Persaingan musim ini sangat ketat, jadi setiap kesilapan kecil boleh memberi kesan besar. Kami perlu kekal konsisten, bijak membaca perlumbaan dan memastikan strategi berjalan dengan sempurna,” jelasnya.

“Sasaran utama saya tetap podium, tetapi jika semua berjalan lancar, saya mahu memburu kemenangan pertama musim ini. Apa yang paling penting adalah konsistensi dan meminimumkan kesilapan,” tambahnya.