Bermula tanpa sebarang data asas dan pengalaman mengenai karakter jentera ketika membuat penampilan sulung dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix pada musim 2025, ramai mungkin tidak menjangkakan peningkatan pantas VOGE RACING TEAM. Namun, hanya selepas satu musim, pasukan itu kini mula membuktikan bahawa kesabaran, kerja keras dan kesungguhan mampu mengubah sebuah projek pembangunan menjadi pencabar yang semakin mencuri perhatian.
Menjelang Pusingan 2 musim 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), pelumba VOGE RACING TEAM, Md Afizi Supaat hadir dengan keyakinan yang semakin meningkat selepas menghadiahkan keputusan memberangsangkan buat pasukan di Pusingan 1 apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima untuk mengutip 11 mata. Lebih membanggakan, VOGE RACING TEAM kini berada di kedudukan kelima keseluruhan pelumba selepas pusingan pembukaan musim.
Malah, pencapaian pasukan itu turut diperkukuhkan dengan kehadiran adiknya sendiri yang juga rakan sepasukan, Md Afizad Supaat, apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk membawa pulang tujuh mata berharga buat pasukan.
Bagi Afizi, perjalanan VOGE bukanlah sesuatu yang mudah kerana pasukan benar-benar bermula dari bawah.
“Saya nampak perkembangan pasukan sangat positif. Pada musim pertama, kami memang bermula dari kosong. Banyak perkara yang perlu dipelajari, terutama dari segi talaan jentera, pengumpulan data dan memahami karakter VOGE FR150. Setiap pusingan kami belajar sesuatu yang baru, dan sekarang hasil kerja keras itu mula menampakkan perkembangan yang cukup menggembirakan,” katanya.
Keputusan tempat kelima di Pusingan 1 pula disifatkan sebagai pembakar semangat besar buat seluruh pasukan.
“Secara jujurnya, kami memang sasarkan untuk berada lebih dekat dengan kelompok hadapan musim ini. Jadi keputusan itu memberi keyakinan bahawa apa yang kami usahakan selama ini berada di landasan yang betul. Saya bersyukur, tetapi pada masa sama kami sedar masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.
Menurut Afizi, perubahan terbesar jentera VOGE hadir melalui pengalaman yang dikumpulkan sepanjang musim lalu, selain komunikasi yang semakin kukuh antara pelumba, kru dan pasukan teknikal.
“Tahun lalu kami banyak belajar tentang karakter motosikal dan bagaimana mendapatkan talaan terbaik. Sekarang, komunikasi dalam pasukan juga semakin baik dan itu banyak membantu perkembangan kami,” jelasnya.
Walaupun momentum semakin meningkat, Afizi mengakui tekanan untuk kekal kompetitif turut bertambah, namun beliau melihat perkara itu dari sudut positif.
“Bila pasukan mula menunjukkan peningkatan, harapan juga semakin tinggi. Tapi bagi saya, itu tekanan yang positif dan menjadi motivasi untuk kami bekerja lebih keras,” katanya.
Menjelang aksi di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), Afizi menjangkakan cabaran lebih besar bakal menanti, terutama dengan karakter litar yang lebih teknikal dan menuntut ketepatan talaan jentera.
“Sepang Utara mempunyai gabungan selekoh laju dan teknikal, jadi talaan jentera perlu benar-benar tepat. Saya juga jangka semua pasukan akan tampil lebih kompetitif, jadi persaingan pasti lebih sengit,” katanya.
Namun bagi Afizi, fokus utama kekal kepada konsistensi mengutip mata sambil membawa VOGE selangkah demi selangkah ke kelompok hadapan.
“Saya rasa kami masih dalam proses pembangunan, tetapi sedikit demi sedikit VOGE sudah mula menunjukkan potensi untuk bersaing. Apa yang penting sekarang ialah terus konsisten dan bekerja keras sebagai satu pasukan,” katanya penuh tekad.

