KEBANGKITAN SAAT AKHIR IDLAN

Perlumbaan CP125 pada Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor berlangsung penuh dramatik apabila Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM bangkit pada saat akhir untuk meraih kemenangan bergaya.

Sebaik perlumbaan bermula, Idlan pantas mendahului kelompok hadapan dengan Arash Tsunami Kamarudin dari ATAS AHM MOTOR SPORTS, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, dan Md Adie Putra Sukarno dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR membentuk kelompok utama.

Memasuki pusingan ke-3, Arash mula mendekati Idlan sebelum berjaya memintas dan terus memecut laju. Malah, pada pusingan ke-4, Arash mencatat masa terpantas perlumbaan 45.106s untuk melebarkan jurang dengan pesaingnya. Ketika itu, Idlan, Syamil, Farid dan Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR kekal memberikan tekanan di belakang.

Pertarungan lima pelumba ini semakin rancak apabila mereka mula meninggalkan kelompok kedua sejauh satu saat. Namun, persaingan utama kemudian berpecah kepada dua kelompok dengan Arash, Idlan dan Syamil di hadapan manakala kumpulan kedua ketinggalan 1.300s.

Di penghujung perlumbaan, Syamil cuba mengambil kesempatan memintas Arash untuk kedudukan pertama, tetapi Idlan segera menggunakan peluang untuk kembali mendahului. Cubaan Arash untuk menguasai semula tidak berhasil apabila Idlan terus mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat untuk mencatat kemenangan dengan masa keseluruhan 11’27.870s.

Arash terpaksa berpuas hati di tempat kedua hanya 0.047s di belakang dengan catatan 11’27.917s, manakala Adib pula mencuri kedudukan podium ketiga pada saat akhir selepas menamatkan perlumbaan dengan 11’30.741s, menewaskan Syamil yang jatuh ke tempat keempat pada 11’31.600s. Md Harith Farhan Baharin dari TKKR RACING TEAM melengkapkan senarai lima terbaik dengan 11’36.682s.

Idlan berkata, “Ini adalah kemenangan kedua saya bersama pasukan. Pada awal perlumbaan saya bermula dengan baik, tetapi di pertengahan Arash berjaya memintas saya. Saya cuba mengikutinya rapat untuk melihat di mana dia melakukan kesilapan, dan akhirnya saya berjaya mengambil peluang itu untuk kembali di hadapan. Terima kasih kepada pasukan dan semua penyokong yang sentiasa memberikan semangat kepada saya.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (11’27.870s)
  2. Arash Tsunami Kamarudin – ATAS AHM MOTOR SPORTS (11’27.917s)
  3. Md Adib Arsyad Md Hisam – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (11’30.741s)
  4. Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (11’31.600s)
  5. Md Harith Farhan Baharin – TKKR RACING TEAM (11’36.682s)