LITAR SEPANG, CABARAN BAGI ADI PUTRA

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan ke Litar Sepang PETRONAS Antarabangsa (Selatan) untuk pusingan ke-6 pada hujung minggu ini. Adi Putra Anahar dari pasukan Zynergys Honda KC Racing akan meneruskan semangat perlumbaan dalam matlamat meraih kedudukan tiga teratas di kategori Wira KBS.

Sejak berlumba di kategori Wira KBS, Adi Putra telah tampil bukan sahaja dengan daya saingan yang kompetitif malah telah menunjukkan kemahiran dalam mengatasi cabaran-cabaran yang tersedia ada di litar yang berbeza. Pelumba yang berasal dari Selangor ini memulakan aksi perlumbaan di MiniGP sebelum menyertai kejuaraan PETRONAS Cub Prix pada musim 2023 dan walaupun pengalamannya berbeza, Adi berjaya meraih tempat keempat secara keseluruhan pada musim tersebut dengan jumlah sebanyak 102 mata.

Musim ini, walaupun masih belum meraih kedudukan di podium, Adi Putra telah tampil dengan prestasi yang lebih baik. Ini jelas terserlah terutamanya dalam percubaannya untuk membaiki catatan lap masa di setiap sesi dan dalam aksinya untuk memberikan saingan yang lebih hebat ketika berlumba. Namun begitu, peluang untuk menaiki carta keseluruhan terutamanya di tempat kedua dan pertama amat tipis bagi beliau memandangkan jurang perbezaan mata yang besar. Adi Putra masih boleh mencapai kedudukan ketiga secara keseluruhan dengan perbezaan 9 mata jikalau beliau mampu memperbaiki prestasinya mulai pusingan yang akan datang.

Menurut Adi Putra, “Berbanding dengan musim lepas, musim ini lebih hebat saingan daripada pelumba-pelumba lain maka memang susah untuk menaiki podium. Perebutan tempat ketiga masih terbuka dan saya perhatian saya tertumpu pada cara-cara untuk menutup jurang perbezaan mata. Pusingan yang akan datang di litar Sepang sudah pasti mencabar kerana saya tidak mempunyai kelebihan di situ dari segi teknik tunggangan. Lebih-lebih lagi dengan pelumba-pelumba lain yang mempunyai kemahiran yang lebih tinggi berbanding dengan saya. Namun begitu, saya tetap akan mencuba.”

“Selain itu juga, dari segi “pick-up”, jentera kami memang ada sedikit kekurangan terutamanya untuk bersaing di litar kelajuan tinggi. Tetapi, kami mempunyai kelajuan “top-speed” di mana kami boleh juga mencari keseimbangan dari segi saingan. Persediaan kami sepasukan termasuk pencarian setup yang lebih bagus supaya kami dapat mencatatkan masa yang lebih baik ketika sesi latihan bebas dan sesi kelayakkan. Matlamat saya untuk pusingan yang akan datang adalah untuk mencari mata di podium. Saya juga berazam untuk memperbaiki kekurangan di pusingan-pusingan seterusnya supaya dapat menamatkan musim ini di tempat ketiga teratas.”