Perlumbaan CP125 di Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyaksikan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING tampil unggul sebagai pemenang selepas pertarungan dramatik di Litar Permotoran Terengganu.
Dalam sesi Shoot-Out yang berlangsung pada sebelah pagi, Izam mencatat masa terpantas 50.806s untuk merangkul petak pertama. Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING bermula dari petak kedua dengan 50.942s, manakala rakan sepasukannya Md Farid Hakimi Farid Sezli di petak ketiga dengan 51.033s.
Sebaik perlumbaan bermula, dua pelumba dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Syamil dan Farid, terus mendominasi kelompok hadapan, manakala Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM turut bersaing sengit di kedudukan ketiga.
Memasuki pusingan ke-4, Izam, yang ketika itu berada di tempat kelima, memanfaatkan kekeliruan di hadapan untuk meloloskan diri dan memintas Syamil, sekaligus mengambil alih pendahuluan perlumbaan. Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR, yang berada di kedudukan ketiga, turut terjatuh dan memberikan ruang kepada Farid untuk mara.
Pada pusingan ke-8, Izam berjaya mencipta jurang 1 saat dengan pencabar terdekat. Namun, Farid mula meningkatkan tempo dan mula merapatkan jurang. Dari 2 saat, jurang itu semakin mengecil menjadi hanya 1 saat pada dua pusingan terakhir.
Di pusingan penamat, Farid hampir menyaingi Izam dengan jurang hanya 0.400s, namun pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING itu kekal tenang dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 12’55.756s.
Farid menamatkan saingan di tempat kedua dengan hanya 0.387s di belakang Izam pada 12’56.143s, manakala Syamil mengekalkan kedudukan podium dengan catatan 13’01.834s.
Izam berkata, “Kami berdepan pelbagai masalah besar sejak sesi latihan 1 sehinggalah ke sesi kelayakan, jadi saya sangat bersyukur dan berpuas hati dengan keputusan P1 hari ini. Perlumbaan tadi memang agresif sejak awal, terutamanya apabila saya lihat Idlan dan Aqeel saling bertarung. Saya cuba kekal tenang kerana saya tahu saya ada kelajuan yang baik di litar ini. Saya berjaya memintas Aqeel walaupun berlaku sedikit pelanggaran, dan apabila Idlan pula buat kesilapan di selekoh S, saya tidak lepaskan peluang untuk memotong. Bila saya semakin hampir dengan Farid dan Syamil, saya perasan mereka mula teragak-agak dari segi kelajuan, jadi saya ambil kesempatan untuk memintas mereka juga. Dari situ, saya cuma fokus dan kekalkan rentak hingga ke garisan penamat. Ini rezeki saya hari ini, dan kemenangan ini saya dedikasikan kepada semua yang tidak pernah berhenti menyokong saya.”
TOP 5 FASTEST – FINAL RACE
- Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (12’55.756s)
- Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (12’56.143s)
- Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (13’01.834s)
- Emil Idzhar Ezuan – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (13’06.374s)
- Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (13’11.559s)

