Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 berlangsung hari ini di Litar Permotoran Terengganu, menyaksikan aksi dramatik dan penuh debar dalam kategori Wira KBS apabila pelumba ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM, Md Akif Abdullah, mempamerkan tunggangan cemerlang untuk meraih kemenangan kedua bagi musim ini selepas menewaskan pesaing utama pada saat-saat akhir perlumbaan.
Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki dari pasukan YAMAHA ESTREMO 27 RACING memulakan perlumbaan dari petak pertama selepas mencatat masa terpantas 51.586s dalam sesi kelayakan. Akif bermula di petak kedua dengan catatan 51.670s, diikuti rakan sepasukan Al-Syafiq, Md Syahmi Aiman Md Shafie di petak ketiga dengan 51.796s.
Sebaik lampu isyarat padam, perlumbaan terus mencetuskan kehangatan apabila Al-Syafiq dan Syahmi cuba mempertahankan kedudukan hadapan, namun Akif pantas melepaskan diri untuk mengetuai perlumbaan, sebelum Farres Putra Mohd Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING turut mendekat bagi menambah tekanan.
Pada pusingan ke-3, Farres mengambil kesempatan atas ruang kecil untuk memintas Akif dan menerajui kelompok utama.
Namun, ketegangan semakin memuncak pada pusingan ke-6 apabila insiden ‘low side’ melibatkan Al-Syafiq menyebabkannya bertembung dengan Raiyan Khardanee Md Sanusi dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, menyebabkan kedua-duanya terjatuh dan sekali gus membuka ruang untuk Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM serta Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING mencabar kedudukan podium.
Sementara itu, di hadapan, Farres mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu dengan Akif terus mengekori rapat, memberi tekanan tanpa henti.
Kemuncak drama berlaku pada pusingan ke-11, apabila Akif mempamerkan ketenangan luar biasa dengan melancarkan serangan berani di selekoh 5. Beliau mengekalkan momentum sehingga ke selekoh terakhir sebelum melakukan pintasan ke atas Farres dan mengekalkan kedudukan untuk menamatkan perlumbaan sebagai pemenang dengan masa 10’33.034s. Farres menamatkan saingan di tempat kedua dengan 10’33.196s, manakala Akid melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 10’39.238s.
Akif berkongsi, “Dalam perlumbaan tadi, saya cuba mengekori Farres sepanjang perlumbaan sehinggalah ke dua pusingan terakhir. Saya perasan saya ada kelebihan di Selekoh 5 dan mula merancang pintasan. Di selekoh terakhir, saya ambil peluang dan lakukan gerakan yang menjadi. Alhamdulillah, strategi itu berhasil dan saya berjaya meraih kemenangan kali ini.”
TOP 5 FASTEST – FINAL RACE
- Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’33.034s)
- Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (10’33.196s)
- Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (10’39.238s)
- Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (10’39.369s)
- Shahzureen Que Absyar Md Khairulnizam – DASHOIL BROTHERS 7 TECH RACING (10’43.242s)

