Tatkala jentera-jentera CP150 bersedia mengaum di Litar Permotoran Terengganu sempena Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix hujung minggu ini, beberapa nama besar dalam arena perlumbaan tempatan tidak akan berada di garisan permulaan, antaranya Md Helmi Azman.
Pelumba utama dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM itu bakal membawa nama negara ke Kejuaraan Suzuka 8-Hours di Jepun, salah satu perlumbaan yang digalas oleh pelumba bertaraf elit dari seluruh dunia.
Selepas empat pusingan Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim ini, Helmi kini berada di tangga ketujuh keseluruhan dalam kelas CP150. Namun, Helmi kini mengetepikan satu pusingan kejuaraan domestik dan memacu jentera ke salah satu perlumbaan paling mencabar di dunia itu.
Bagi Helmi, Suzuka 8-Hour bukan sekadar perlumbaan jarak jauh, tetapi platform untuk mengasah kekuatan fizikal dan mental sebagai seorang pelumba profesional.
“Suzuka 8-Hour ini merupakan salah satu perlumbaan yang paling mencabar bagi saya. Kita perlu bertahan selama satu jam di atas motor secara bergilir-golir. Ia benar-benar menguji tahap fizikal dan mental saya, dan pengalaman ini sangat berharga untuk membantu saya menjadi pelumba yang lebih matang pada masa akan datang.”
Helmi bukan sahaja berdepan dengan cabaran masa yang panjang di di atas jentera, tetapi juga realiti bahawa Suzuka 8-Hour dihuni oleh nama-nama besar dari seluruh dunia.
“Cabaran paling besar adalah bersaing dengan pelumba bertaraf dunia. Kita perlu kekal fokus 100% di atas motor sepanjang perlumbaan dan dalam cuaca panas Jepun yang sangat mencabar. Segalanya demi menuntut ketahanan diri yang maksimum,” katanya.
Menjejakkan kaki buat kali ketiga dalam perlumbaan ini, Helmi mempunyai azam yang cukup besar. Helmi bukan sekadar mahu menamatkan perlumbaan, tetapi juga memperbaiki catatan masa dan mengekalkan rentak konsisten sepanjang sesi.
“Dari pengalaman lepas, saya tahu di mana kelemahan saya. Jadi kali ini, saya nak fokus untuk dapatkan catatan masa sepusingan yang lebih baik dan lebih konsisten dari mula hingga tamat perlumbaan. Itulah target utama saya.”
Ketiadaan Helmi di Terengganu pastinya dirasai para peminat setia Cub Prix dan penyokong MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM. Namun, Helmi tetap menitipkan kata-kata semangat buat rakan seperjuangan yang akan bertarung di gelanggang domestik.
“Semoga bejaya kepada semua keluarga Malaysian Cub Prix, terutamanya rakan-rakan sepasukan saya, iaitu Md Irfan Haikal Amidi, Md Amirul Ariff Musa dan Adib Hareez Hazwat(CP125). Selamat berjuang kepada pasukan saya! Saya doakan kejayaan kalian dan kita akan jumpa semula di pusingan seterusnya di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan).”

