KASMA KUKUH DI KELAYAKAN

Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu hari ini menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan kategori CP150.

Dalam sesi kelayakan 1, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING memulakan saingan dengan cemerlang apabila mencatat masa 49.111s untuk mendahului sesi. Kasma berada di kedudukan kedua dengan 49.392s, diikuti rapat oleh Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS di tempat ketiga dengan 49.634s.

Namun, saingan semakin sengit dalam sesi kelayakan 2 apabila Kasma berjaya memperbaiki catatan masanya kepada 49.098s, sekaligus merampas kedudukan teratas. Afif berada di tempat kedua dengan 49.288s, manakala Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari HONDA ESTREMO YUZY RACING mencatat 49.299s untuk melengkapkan senarai tiga terpantas.

Secara keseluruhan, Kasma muncul sebagai pelumba terpantas kategori CP150, dengan Afif dan Darwisy masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Kasma berkata, “Fokus utama saya hari ini adalah untuk memberikan tumpuan sepenuhnya pada tunggangan. Kami ada lakukan beberapa perubahan pada jentera dan Alhamdulillah, ia memberikan kesan yang sangat positif. Jentera lebih stabil dan mudah dikawal berbanding sebelumnya. Sebelum ini, motor saya agak ‘liar’, tetapi dengan pelarasan baru ini, saya lebih yakin dan selesa. Selekoh 6 antara yang paling mencabar di sini. Ia berbentuk L dan datang selepas dua selekoh laju dari selekoh 4 dan selekoh 5 yang memerlukan pelumba untuk memecut dengan agresif. Jadi, bila masuk ke Selekoh 6, kita perlu perlahankan motor dengan pantas. Di situlah keupayaan brek dan suspensi diuji. Nasib baik, semua komponen bekerja dengan sangat baik tadi. Saya akan terus berusaha dan berikan yang terbaik untuk sesi Super Pole dan perlumbaan esok. Apa pun, saya serahkan segalanya pada rezeki dan takdir.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (49.098s)
  2. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (49.111s)
  3. Ahmad Darwisy Ahmad Sahir – HONDA ESTREMO YUZY RACING (49.299s)
  4. Danial Syahmi Ahmad Shahril – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (49.404s)
  5. Nazirul Izzat Md Bahauddin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (49.441s)