Tatkala kehangatan Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix mula dirasai, sorotan tumpuan jelas terarah kepada pelumba kelahiran Terengganu yang berpengalaman, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang kini gah mendahului kedudukan keseluruhan kategori CP150, kelas tertinggi dalam arena Cub Prix.
Selepas empat pusingan aksi sengit, Afif membuktikan beliau masih antara jaguh utama apabila merangkul empat kemenangan dan satu kedudukan kedua, menjadikan dirinya pendahulu carta kejuaraan berbekalkan prestasi konsisten.
Kini perlumbaan kembali ke Litar Permotoran Terengganu, negeri di mana cintanya terhadap dunia permotoran mula berputik, Afif bersedia untuk melakar kemenangan sekali lagi di depan penyokong setia yang tidak pernah jemu menyokongnya sejak awal kerjaya.
“Saya jangkakan persaingan kali ini akan jadi lebih sengit dan mencabar. Selepas empat pusingan, semua pelumba sudah kumpul data dan jumpa tetapan lebih baik untuk jentera masing-masing. Jadi, kita akan menyaksikan pertempuran yang lebih rapi, lebih teknikal, dan setiap saat di atas litar akan jadi penentu.”
Namun bagi pelumba yang mengangkat Terengganu sebagai nadi permulaannya dalam sukan permotoran, pusingan kali ini bukan sekadar satu lagi perlumbaan dalam kalendar.
“Litar Permotoran Terengganu sangat dekat di hati saya. Di sinilah semuanya bermula, iaitu minat, impian, dan semangat saya untuk berlumba. Untuk tampil dan beraksi di hadapan keluarga, sahabat serta penyokong tanah air sendiri, ia merupakan satu penghormatan besar. Kalau saya berjaya ungguli perlumbaan ini, ia bukan sekadar kemenangan biasa, ia kemenangan yang sarat dengan makna peribadi.”
Kenangan manis di litar itu sentiasa menjadi pembakar semangat buat Afif. Tahun lalu, beliau berjaya menaiki podium di tempat ketiga meskipun dihimpit cabaran fizikal dan mental berikutan kecederaan.
“Musim lalu saya bergelut dengan kecederaan dan tidak berada pada tahap terbaik. Tapi saya ambil itu sebagai pengajaran. Tahun ini, saya datang dengan persediaan lebih menyeluruh, lebih matang dan lebih dahagakan kejayaan. Saya mahu hadiahkan sesuatu yang luar biasa untuk Terengganu.”

