Dalam kategori Wira KBS di Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Stadium Mini Teluk Intan, Perak, Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mendominasi sesi kelayakan meskipun cuaca panas, dengan catatan masa terpantas.
Dalam sesi latihan 2, Farres mencatat masa terpantas 50.994s diikuti Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING dengan 51.304s. Rakan sepasukan Farres, Raiyan Khardanee Md Sanusi, menamatkan sesi di tempat ketiga dengan 51.673s.
Dalam sesi kelayakan, walaupun cuaca panas memberi kesan kepada cengkaman tayar, Farres berjaya mengharungi cabaran dengan catatan 51.237s, sekaligus mendahului carta. Akid di tempat kedua dengan 51.459s, manakala Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM di tempat ketiga dengan 51.675s.
Farres berkata, “Dalam sesi kelayakan tadi, saya sebenarnya tidak menjangkakan untuk meraih kedudukan pertama kerana ‘lap board’ menunjukkan saya berada di tempat ketiga. Jadi, saya sedar mungkin terdapat sedikit kekurangan pada diri saya dan juga dari segi mekanikal. Namun Alhamdulillah, pada pusingan terakhir saya cuba memberikan sepenuh kemampuan dan jentera juga berfungsi dengan baik, membolehkan saya meraih kedudukan teratas. Kami akan terus berusaha mencari pelarasan yang lebih baik. Memandangkan keadaan cuaca ketika ini, kami juga akan merangka strategi baharu dan berusaha mempertahankan kemenangan pada perlumbaan esok.”
TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION
- Farres Putra Md Fadhil – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (51.237s)
- Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (51.459s)
- Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (51.675s)
- Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali – MBI SELANGOR EXN AXLA (51.802s)
- Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (51.862)

