Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke perkarangan Stadium Mini Teluk Intan untuk pusingan ke-4. Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing akan meneruskan momentum kemenangan untuk mempertahankan kedudukan di kategori CP150.
Setelah dua musim di tangga kedua secara keseluruhan, Afif kini kembali pada musim ini dengan nada dan misi yang berlainan, untuk mendominasi kategori perlumbaan tersebut. Afif yang dikenali sebagai pelumba yang sangat berpengalaman dan berkemahiran tinggi tidak kira di litar kelajuan tinggi mahupun litar teknikal telah tampil dengan strategi yang berkesan untuk meraih dua kemenangan dan satu podium setakat ini. Beliau kini berada di kedudukan teratas carta keseluruhan dengan kelebihan sebanyak 28 mata daripada Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang berada di tempat kedua.
Namun begitu, dengan tujuh lagi pusingan untuk musim ini dan dengan pelumba-pelumba lain seperti Kasma, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing serta rakan sepasukannya tersendiri, Akid Aziz yang sama-sama telah mempamerkan kaliber dan daya saingan kuat dalam kategori perlumbaan ini, Afif perlu menggandakan usahanya dalam mempertahankan kedudukannya. Usaha dan komitmen beliau dalam merealisasikan impian buat masa kini ketara terutamanya dari segi fizikal di mana berat badan Afif turun sebanyak 3kg untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Ini sekaligus telah memberikan beliau kelebihan dari segi kelajuan jentera yang diperlukan dalam persaingan dengan pesaing-pesaing lain.
Menurut Afif, “Berat badan sememangnya mempengaruhi kelajuan terutamanya jentera jenis underbone 150cc kerana “horsepower” underbone berada pada tahap 40 yang tidak begitu berkuasa. Jadi jika pelumba berat, memang sukar untuk mencapai kelajuan maksima. Musim ini, saya sudah kurang sebanyak 3 kilo dan ia telah banyak membantu dalam pencapaian yang lebih baik. Selain daripada penjagaan makanan, saya juga banyak melakukan latihan motor untuk kekalkan momentum dan untuk berikan saingan yang konsisten.”
“Persaingan di kategori CP150 agak sengit. Pelumba seperti Azroy dan Kasma yang bukan sahaja sudah biasa bersaing di kelas 1000cc malah juga berjaya di podium, kemahiran tunggangan mereka adalah konsisten. Selain itu juga, mereka juga dapat memaksimakan kelajuan jentera disebabkan oleh kemahiran mereka. Jentera saya setakat ini, tiada perubahan berbanding dengan musim lepas. “Setup” adalah sama seperti tahun lepas. Di pusingan berikutnya, kelajuan dan kemahiran amat penting kerana litar tersebut mempunyai laluan lurus yang panjang dan selekoh yang kecil. Sudah pasti, pelumba-pelumba akan memberikan saingan yang cukup kuat tetapi saya akan teruskan usaha untuk mencapai pencapaian yang lebih hebat daripada musim lepas.

