“SAYA INGIN LEBIH KONSISTEN” – IDLAN

Pusingan empat Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan pada hujung minggu ini. Md Idlan Haqimi dari Zynergys Honda KC Racing Team akan meningkatkan lagi usaha untuk menguasai cabaran di kategori perlumbaan CP125.

Setelah memenangi perlumbaan di litar LYL International Karting Circuit yang dikenali sebagai litar paling teknikal dan mencabar dalam kalendar Kejuaraan, Idlan kini lebih bermotivasi untuk meneruskan perjuangan dalam misi mendominasi dan merebut takhta. Kemenangan Idlan kali ini telah menamatkan nasib kurang baik beliau selama lebih kurang 3 tahun.

Sejak bertukar pasukan, persembahan Idlan jauh berbeza daripada musim-musim lepas dan boleh dikatakan lebih baik dari segi saingan dan pengendalian jentera. Ternyata, Idlan mempunyai kemahiran serta pengalaman dan dengan jentera yang berbeza, beliau berjaya mencari keserasian yang diperlukan untuk mencapai pencapaian yang lebih memuaskan. Idlan kini menduduki tempat keempat secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 36 mata. Walaupun beliau kekurangan 22 mata daripada pesaing di kedudukan pertama, Idlan masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kedudukannya sepanjang tujuh pusingan yang akan datang.

Menurut Idlan, “Tahun ini, saya bersama pasukan baharu maka cara kerja pasukan, “setup” jentera dan kerjasama di antara ahli-ahli pasukan saya juga amat berbeza. Apa yang penting adalah prestasi saya yang juga telah meningkat. Seperti yang kita tahu, kategori CP125 adalah agak mencabar kerana ramai pelumba yang berpengalaman. Ramai di antara mereka yang telah lama berlumba di kategori ini berbanding dengan saya. Saya masih belajar dan cuba untuk memperbaiki kekurangan setakat mana yang boleh. Bagi saya, pesaing terdekat saya buat masa kini adalah rakan sepasukan saya sendiri di mana kami berdua belajar dan berikan saingan sesama sendiri.”

“Persediaan saya untuk pusingan yang akan datang adalah dari segi kecergasan fizikal yang amat penting untuk kekalkan stamina sepanjang perlumbaan. Lebih-lebih lagi di litar teknikal yang menggunakan kekuatan fizikal untuk mengendali jentera. Pasukan saya juga banyak melakukan ujian dengan menggunakan data yang tersedia ada untuk memastikan jentera berada dalam keadaan yang baik. Matlamat saya pada musim ini adalah untuk kekalkan tahap konsisten di setiap pusingan dan untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang berbanding dengan musim lepas.”