Perlumbaan CP125 di Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyaksikan Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM tampil pemenang selepas pertarungan dramatik di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy.
Dalam sesi “Shoot-Out” yang berlangsung pada sebelah pagi, rakan sepasukan Idlan, Md Farish Iqmal Khayrul Elyas, mencatat masa terpantas 1’12.479s untuk meraih petak pertama. Idlan menyusul rapat dengan 1’12.507s, sementara pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING, Md Syamil Amsyar M Iffende, bermula dari petak ketiga dengan catatan 1’12.521s.
Sebaik perlumbaan bermula, dua pelumba ZYNERGYS, Idlan dan Farish menguasai kedudukan hadapan, diikuti Syamil dan Md Adib Arsyad Md Hisam dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Saingan sengit terus berlangsung dengan keempat-empat pelumba mempamerkan tunggangan agresif.
Pada pusingan ke-4, Adib yang memulakan perlumbaan dari petak ke-6 melakukan gerakan cemerlang untuk memintas Idlan dan memimpin perlumbaan. Tidak mudah menyerah, Idlan kekal memberi tekanan rapat dan mencari ruang terbaik untuk kembali ke hadapan.
Insiden mengejutkan berlaku pada pusingan ke-11 apabila tiga pelumba iaitu Farish, Syamil dan Md Harith Farhan Baharin dari TKKR RACING TEAM terjatuh ketika bersaing untuk kedudukan ketiga, sekaligus membuka ruang podium kepada pelumba lain.
Kebangkitan luar biasa Idlan hadir di pusingan terakhir apabila beliau berjaya melakukan pintasan bersih ke atas Adib dan terus memecut ke garisan penamat, memenangi perlumbaan dengan catatan masa 14’44.063s.
Adib yang memberikan saingan hebat menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan masa 14’44.507s, manakala Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM meraih tempat ketiga dengan 14’45.029s.
Idlan berkongsi, “Kemenangan ini sangat bermakna, kerana sudah sekia lama saya menantikannya. Ia bukan hanya tentang hari ini, tetapi tentang segala usaha dan cabaran yang telah saya dan pasukan lalui. Saya ingin ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan yang tidak pernah berhenti bekerja keras, serta keluarga saya yang sentiasa berdiri di belakang saya. Ini untuk anda semua!”
Top 5 Fastest – Final Race
- Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (14’44.063s)
- Md Adib Arsyad Md Hisam – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’44.507s)
- Md Khairi Asyraf Mahmood – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (14’45.029s)
- Md Izam Ikmal Izamli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’46.432s)
- Arash Tsunami Kamarudin – ATAS AHM MOTOR SPORTS (14’46.532s)

